DAKWAAN RASUAH AHLI PARLIMEN KAPAR DIRUJUK KE SELCAT

Wednesday, 12 May 2010 | Ruangan: Kenyataan Media

KENYATAAN MEDIA
12 MEI 2010

Kerajaan Negeri Selangor akan merujuk aduan Ahli Parlimen Kapar, YB S. Manikavasagam tentang wujud unsur rasuah dalam syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Kami berharap Pengerusi SELCAT YB Teng Chang Kim yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor dapat bertindak terhadap aduan tersebut dengan segera supaya satu sesi pendengaran awam dapat dijalankan.

Kerajaan Negeri memberi arahan kepada semua kakitangan jabatan kerajaan dan pegawai KSSB untuk memberi kerjasama penuh kepada SELCAT dalam pendengaran tersebut.

Kami berpendapat SELCAT adalah forum terbaik untuk membincangkan dakwaan itu kerana ia dilakukan secara terbuka dan maklumat serta fakta yang diberikan tidak disembunyikan dari pengetahuan umum.

Keputusan ini telah dibuat setelah kami meneliti aduan yang telah diterima secara rasmi oleh Ahli Parlimen Kapar sendiri dalam satu pertemuan pagi tadi.

Dalam pertemuan itu kami juga telah menasihatkan Ahli Parlimen Kapar untuk membuat laporan polis tentang perkara tersebut supaya tampak lebih telus lagi.

Kerajaan Negeri Selangor mengamalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran serta menyokong semua usaha untuk membanteras gejala rasuah. Oleh itu kami berterimakasih kepada Ahli Parlimen Kapar atas keprihatinannya dalam pentadbiran Negeri Selangor.

Kerajaan Selangor mengambil berat dakwaan ini dan mahu tindakan sewajarnya diambil untuk memelihara imej KSSB yang mempunyai peranan penting menjayakan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR SELANGOR