KERAJAAN SELANGOR AMBIL TINDAKAN JIKA TANAH YANG DIANUGERAHKAN TIDAK DIBANGUNKAN DAN TIADA PEMBAYARAN CUKAI

Wednesday, 28 April 2010 | Ruangan: Kenyataan Media

KENYATAAN AKHBAR
28 APRIL 2010

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan memulakan operasi mengemaskini status tanah anugerah bagi memastikan semua tanah dibangun dengan betul.
Keputusan diambil selepas Kerajaan Negeri mendapati banyak tanah anugerah bukan sahaja tidak jelaskan cukai tanah tetapi dibiarkan begitu sahaja tanpa pembangunan.

Situasi sebegini perlu dielakkan kerana ia bukan sahaja merugikan pihak Kerajaan Negeri tetapi juga penduduk setempat.

Oleh itu, semua pemilik tanah yang dianugerahkan kerajaan negeri akan diminta memberi penjelasan berhubung kegagalan mereka membangunkan tanah dan membayar cukai tanah lebih dari lima tahun.

Kegagalan untuk memberi penjelasan boleh mengakibatkan tanah-tanah mereka diambil semula oleh Kerajaan Negeri.
Pada mereka yang cuba membayar cukai tertunggak lebih dari lima tahun, Kerajaan Negeri tidak akan terus menerima bayaran tersebut sebelum menerima penjelasan daripada pemilik tanah berkenaan.

Sebagai kerajaan yang mengamalkan ketelusan dan kebertanggungjawaban, Kerajaan Negeri memberi jaminan setiap penjelasan akan diambil kira dan dipertimbangkan sebelum tindakan diambil.

Tanah adalah harta rakyat Negeri Selangor yang beharga dan oleh itu kerajaan perlu memastikan urus tadbir tanah yang baik, cekap dan mengelak pembaziran.

Kerajaan negeri terdahulu gemar menganugerahkan beribu-ribu ekar tanah bernilai jutaan ringgit kepada anak-anak syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Namun tanah-tanah itu kebanyakannya tidak dibangunkan dan pemiliknya tidak membayar cukai tanah.

Ini jelas menunjukkan pemiliknya tidak menghargai sumbangan yang diberikan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Selangor berpendapat, tanah yang tidak dibangunkan dan dibiarkan begitu saja sejak bertahun-tahun lama itu sepatutnya digunakan untuk aktiviti yang boleh membawa keuntungan kepada rakyat selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Seklangor.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR