DATUK ZAID IBRAHIM DILANTIK MENGETUAI BADAN PETUGAS MEMBELA PENEROKA FELDA
Monday, 26 April 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN MEDIA
24 APRIL 2010
HULU SELANG0R: Kerajaan selangor akan melantik Datuk Zaid Ibrahim untuk mengetuai satu Badan Bertindak Khas untuk membela nasib peneroka Felda di Selangor yang sekian lama terbiar.
Badan Bertindak Khas ini bertujuan mendapat geran kepada peneroka Felda atas tanah yang mereka kerjakan dan dudki selama lebih 15 tahun.
Kerajaan Negeri berpendapat bahawa peneroka Felda berhak kepada tanah yang diusahakan itu kerana perjanjian yang dibuat dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) telah pun lupus.
Mengikut Akta Penempatan Beramai-ramai 1960, peneroka mesti membayar sejumlah wang kepada Felda selama 18 tahun jika mahu mendapatkan tanah yang dikerjakan.
Akta ini menimbulkan konflik kepada peneroka dalam hal pembahagian harta pusaka, hak peneroka terhadap tanah dan masa depan Generasi Kedua.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga berpendapat bayaran yang dibuat tidak mengambil kira keuntungan yang didapati oleh Felda Holding Berhad- iaitu badan korporat Felda.
Adalah amat tidak adil peneroka Felda terpaksa menderita sedangkan warga korporat Felda telah mendapat keuntungan daripada peneroka Felda selama ini.
Tambahan, Kerajaan Negeri tidak pernah mendapat keuntungan ketika menyerahkan tanah kepada Kerajaan Pusat untuk dijadikan tanah rancangan Felda.
Datuk Zaid Ibrahim dipilih kerana beliau berpengalaman dan pakar dalam bidang perundangan dan mapu memberi nasihat dalam hal pemberimilikan hak tanah.
Selain beliau, Badan Petugas Khas ini bakal dianggotai profesional yang mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal pentadbiran tanah.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR

