SELANGOR MAHU KDN BERI JAMINAN RASMI SECARA BERTULIS TERHADAP KESELAMATAN DR PORNTIP
Wednesday, 21 April 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN AKHBAR
21 APRIL 2010
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan secara rasmi terhadap keselamatan Dr Porntip Rojanasunan, yang dilantik kerajaan negeri sebagai pakar forensik dalam kes kematian mendiang Teoh Beng Hock.
Menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah memohon jaminan rasmi secara bertulis dari Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melalui surat bertarikh 20 April 2010.
Datuk Seri Hishammuddin Hussien dalam kenyataannya kepada media telah berjanji bahawa kerajaan Malaysia akan memastikan keselamatan Dr Porntip terjamin sepanjang berada di negara ini.
“Kami berharap Menteri melaksanakan jaminan yang telah diberi melalui media itu supaya Dr Porntip dapat menjalankan tugas sebagai pakar forensik sekali gus melancarkan perjalanan inkues kematian Teoh Beng Hock.
“Kami tegaskan di sini, kehadiran Dr Porntip amat penting dan diperlukan bagi mencari kebenaran dan keadilan dalam kematian Teoh Beng Hock,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, semalam.
Abdul Khalid berkata, Kerajaan negeri mahu Menteri Dalam Negeri memberi jaminan bertulis kepada Dr Porntip dan Kerajaan Selangor bahawa keselamatan pakar forensik itu terjamin sepanjang berada di negara ini.
Katanya, Kerajaan Selangor menghargai jaminan mulut yang telah diberikan Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail pada 12 April lalu dan berharap jaminan itu dalam diterjemahkan dalam bentuk tindakan.“Jaminan ini penting bagi memastikan institusi keadilan di Malaysia di hormati,” katanya.
Dr Porntip sepatutnya hadir memberi keterangan inkuas pada 20 April lalu tetapi Kementerian Keadilan Thailand telah menghantar surat surat rasmi pada 8 April kepada kerajaan Selangor memaklumkan Dr Porntip tidak dapat hadir.
Pada 9 April, Dr Porntip telah menghantar emel memaklumkan wujud tekanan politik daripada pihak tertentu yang berkaitan dengan Kerajaan Malaysia untuk menghalang kehadiran beliau bagi memberi keterangan dalam inkues.
Sehubungan itu, Menteri Besar telah menghantar surat memohon jaminan rasmi keselamatan Dr Porntip sepanjang beliau berada di Malaysia untuk memberi keterangan dalam inkues itu.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

