PERASMIAN LADANG PISANG DOLE SEBIRO TERBESAR DI MALAYSIA
Wednesday, 21 April 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN AKHBAR
20 APRIL 2010
SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengadakan lawatan kerja ke Ladang Pisang Dole Sebiro yang terletak di Laman 9 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Bernam Jaya, Hulu Selangor hari ini.
Turut sama pada lawatan kerja itu, Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ketua jabatan kerajaan dan pegawai tinggi kerajaan negeri.
Abdul Khalid merasmikan ladang itu dan meraikan hasil tuaian pertama Ladang Pisang Dole Sebiro yang merupakan ladang pisang terbesar di Malaysia.
Menteri Besar Tan Sri Abdul khalid Ibrahim berkata, projek itu memberi manfaat terutama penduduk setempat yang mendapat pekerjaan selain boleh mempelajari teknik penanaman pisang secara moden.
Katanya kerajaan negeri sedia memperluaskan projek itu kerana teknologi yang di bawa oleh dole inc mampu memberi pendedahan berkenaan penggunaan teknologi dalam pertanian.
Sehingga kini, syarikat memiliki ladang seluas 500 hektar di Hulu Selangor yang telah mengambil seramai 200 orang pekerja yang kebanyakkannya terdiri daripada kalangan rakyat tempatan.
Usahasama Ladang Dole Sebiro dan PKNS adalah salah satu langkah proaktif oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan nilai pulangan dari tanah-tanah milik Kerajaan Negeri.
Melalui usahasama ini, Dole Sebiro diberikan pajakan pendek bersyarat agar tanah dapat diusahakan dan membawa pulangan dengan membayar pajakan kepada PKNS.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri membantu mewujudkan kegiatan ekonomi di kawasan pendalaman dan peluang-peluang pekerjaan baru untuk masyarakat setempat yang kian terpinggir. Kerjasama dengan Dole Inc juga menandakan usaha serius Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan aplikasi pertanian moden untuk menembusi pasaran dunia.
Dole Sebiro adalah wakil pengeluar tunggal tempatan yang dipilih oleh Dole Inc yang merupakan syarikat pengeluar pisang dan buah-buahan terbesar di dunia yang menguasai saluran pasaran dan teknologi pertanian.
Ladang Pisang seluas 500 hektar itu mula dibuka pada September tahun lalu dan ditanam dengan 600,000 pokok pisang.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR



