KERTAS PUTIH MENGENAI YBK DIEDAR KEPADA UMUM

Wednesday, 21 April 2010 | Ruangan: Kenyataan Media

KENYATAAN AKHBAR
13 APRIL 2010

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri hari ini mengedarkan kertas putih yang mengandungi laporan terperinci mengenaiYayasan Basmi Kemiskinan (YBK) termasuk harta dan aset yang telah diberikan kerajaan negeri dan bagaimana harta ini telah digunakan.

Kertas putih ini disediakan hasil laporan dan siasatan yang dibuat Bahagian Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor.

Kita telah edarkan kertas putih ini kepada Ahli Dewan dan media massa supaya maklumat sebenar mengenai YBK dapat disampaikan kepada orang awam untuk membuat penilaian kedudukan sebenar YBK.

Laporan audit ini mendapati fakta-fakta penting seperti
• YBK diketuai oleh Dato’ Zainal Abidin Sakom semenjak ia ditubuhkan pada 1990. Yayasan ini dikuasai oleh Dato’ Zainal Abidin Sakom dan keluarganya; isterinya Datin Hartini Osman juga adalah salah seorang pemegang amanah dalam YBK.

• Kerajaan Negeri telah menganugerahkan YBK tanah seluas 1,977.428 ekar di beberapa daerah di Selangor.

• YBK dan syarikat subsidiari berhutang sebanyak RM7.36 juta tunggakan cukai tanah dengan Kerajaan Negeri.
• Selama 13 tahun, Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menerima apa-apa bayaran atau laporan berkaitan tanah di Serendah.

• YBK dan anak-anak syarikatnya telah menggadaikan 16 lot tanah kepada beberapa individu dan syarikat. Anak syarikat YBK iaitu Permodalan YBK Sdn Bhd (PYBK), terlibat dengan lima gadaian yang berjumlah RM102 juta. Gadaian ini boleh menyebabkan tanah yang dianugerah untuk tujuan membasmi kemiskinan jatuh ke tangan pihak ketiga.

• YBK dan syarikat subsidiari telah dianugerahkan tanah untuk aktiviti membasmi kemiskinan tetapi ada antara tanah yang diberi itu dibangunkan untuk projek komersil. Salah satu contoh adalah tanah seluas 8.5 ekar yang telah dikenal pasti untuk projek “Penempatan Rakyat Termiskin Daerah Gombak”. Namun, projek tersebut telah dibatalkan dan akhirnya sebanyak 410 unit pembangunan bercampur yang melibatkan rumah kedai, pangsapuri kos rendah dan sederhana telah dibina.

• Terdapat keraguan atas rancangan membina universiti di tanah di Serendah kerana YBK tidak pernah membuat permohonan secara rasmi kepada agensi – agensi kerajaan yang terlibat.

• Laporan kewangan YBK yang dipaparkan di laman web YBK tidak memperincikan aktiviti –aktiviti syarikat subsidiari termasuklah cagaran ke atas tanah seperti yang disebut di atas.

• Pengurusan buruk ke atas projek perumahan untuk rakyat miskin yang mana ada antara unit telah diduduki oleh mereka yang bukan dari golongan miskin.

• Pasukan siasatan dari Bahagian Audit Dalam Negeri Selangor telah dihalang masuk kedalam premis YBK walaupun yayasan tersebut memberitahu kepada media mereka tidak akan menghalang usaha pengauditan DAN

• Semua fail yang berkaitan dengan YBK di Pejabat Daerah Hulu Selangor telah dirampas oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 28 Januari 2010

Berikutan laporan ini, Kerajaan Negeri Selangor berpendapat aktiviti YBK perlulah dipantau bagi memastikan tanah yang diberi kepada yayasan tersebut diurus secara telus dan bertanggungjawab.

Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak boleh membiarkan harta rakyat dimanipulasikan untuk keuntungan sesetengah pihak atas nama membasmi kemiskinan.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR