TAWARAN SPLASH TIDAK JEJAS RUNDINGAN AIR SELANGOR-KEMENTERIAN
Wednesday, 21 April 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN MEDIA
25 MAC 2010
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor dan kerajaan Pusat akan terus bekerjasama untuk melaksanakan hasrat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) untuk menyatukan empat syarikat konsesi di bawah satu entiti yang dikawal oleh kerajaan negeri.
Sehubungan itu, Selangor akan terus bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Hijau, Teknologi dan Air bagi mencari jalan penyelesaian demi kebaikan pengguna air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur serta memastikan Kerajaan Selangor memainkan peranan berkesan dalam pengurusan sumber air dan utiliti di negeri ini.
Pengumuman Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) yang menawarkan RM10.75 bilion untuk pengambilalihan itu tidak akan menjejaskan rundingan yang masih berjalan.
Kerajaan negeri berpendapat tawaran Splash itu kurang menepati matlamat dan aspirasi WSIA 2006. Bagaimanapun, tawaran itu mengesahkan bahawa pendekatan holistik boleh dilakukan untuk penstrukturan semula itu dengan harga yang ditawarkan.
Kerajaan negeri juga berpendapat tidak perlu ada situasi perantara atau migrasi sementara sebelum penstrukturan semula industri perkhidmatan air itu dicapai.
Ia juga membuktikan industri perkhidmatan air boleh dijalankan pada harga lebih lebih rendah sekali gus bercanggah dengan permintaan Syabas untuk manaikkan tarif air sebanyak 37 peratus.
Perjanjian penswastaan bekalan air kepada Syabas dan permintaannya untuk meningkatan kadar tarif air memberi peringatan kepada Selangor untuk mengkaji semula jadual harga.
“Kita perlu membetulkan kesilapan kerajaan Pusat yang membenarkan syarikat operator salah guna proses industri ini untuk mendapatkan keuntungan yang tinggi.
“Kami percaya ini adalah keputusan tidak betul dan tidak bijak dari nilai komersial serta membuka kepada pelbagai spekulasi negatif kerana perjanjian itu adalah jauh lebih tinggi dari perbincangan rasmi serta merugikan pengguna.
“Bagaimanapun Kerajaan Selangor komited untuk menyelesaikan masalah ini demi kepentingan semua pihak khususnya pengguna di Lembah Klang,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Kerajaan Negeri juga yakin tawaran yang dibuat kepada empat syarikat konsesi itu memenuhi kehendak komersial, adil, munasabah dan menguntungkan.
Jika keuntungan lebih daripada tawaran yang diberikan, kerajaan negeri bimbang ia akan menjejaskan hak lima juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk menerima perkhidmatan bekalan air yang bermutu dan pengurusan sumber air yang cekap serta efektif.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO MENTERI BESAR SELANGOR

