MENTERI BESAR DEDAH MAKLUMAT MENGENAI TAMAN REKREASI SUBANG RIA
Wednesday, 21 April 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN AKHBAR
17 MAC 2010
Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini membuat keputusan untuk mengklasifikasikan semula minit mesyuarat mengenai pengasingan tanah di Subang Jaya yang kini dikenali sebagai Taman Rekreasi Subang Ria.
Keputusan ini dibuat dengan menggunakan kuasa Menteri Besar mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972. Tindakan ini bagi membolehkan Minit Mesyuarat Exco pada 1987 didedahkan supaya orang ramai dimaklumkan mengenai keputusan yang telah dibuat kerajaan negeri terdahulu.
Mengikut minit mesyuarat itu, United Estate Berhad (UEP), sekarang dikenali Sime Darby UEP telah memohon tanah seluas 74.56 ekar di Petaling (sekarang Subang Jaya) pada 1987 untuk kegunaan rekreasi. Bayaran premium yang dikenakan untuk tanah tersebut ketika itu berjumlah RM4.95 juta.
UEP kemudiannya telah meminta supaya bayaran premium itu dikurangkan. Pentadbir Tanah Daerah Petaling ketika itu telah menasihatkan kerajaan negeri supaya meluluskan permintaan tersebut memandangkan bahawa UEP telah pun membelanjakan RM10 juta bagi membina kemudahan rekreasi diatas tanah tersebut serta kegunaan tanah tersebut hanyalah untuk aktiviti riadah.
Kerajaan Negeri juga diberitahu bahawa laporan penilaian tanah menyatakan bahawa nilai tanah yang terbabit hanyalah RM1.575 juta. Jika nilai tersebut digunakan untuk menentukan harga premium tanah, nilainya akan jauh lebih kurang.
Pentadbir Tanah Daerah Petaling kemudiannya mencadangkan supaya 10 unit rumah (sembilan unit rumah berkembar dan sebuah banglo) dibeli dari UEP sebagai pertukaran bayaran premium tanah. Konsep Timbal balik ini bermakna UEP tidak perlu membayar premium tanah secara tunai.
Rumah berkenaan diserahkan kepada kerajaan negeri Selangor dan digazet sebagai rumah untuk Penolong-penolong Pegawai Daerah Petaling dan Setiausaha Majlis Daerah Petaling. Kesemua 10 unit rumah ini terletak di SS19, Subang Jaya. Cadangan ini telah diluluskan Mesyuarat MMKN ketika itu.
Adalah diharapkan bahawa kenyataan ini dapat menjelaskan bagaimana Sime Darby UEP diberi hak pemilikan tapak Taman Rekreasi Subang Ria. Pendedahan ini bagi menunjukkan bagaimana Kerajaan Selangor terdahulu meluluskan pengasingan tanah dengan cara timbal balik tanpa melibatkan wang. Ini bermakna Sime Darby UEP adalah pemilik tanah Taman Rekreasi Subang Ria yang sah.
Walaupun tidak setuju dengan cara keputusan telah yang dibuat, namun keputusan tersebut bukan sahaja terpakai tetapi juga perlu diambil kira dalam membuat keputusan yang seterusnya.
Sime Darby UEP telah menghantar pelan pembangunan diatas tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri untuk kelulusan. Sebagai pemilik tanah yang berhak, Sime Darby UEP tidak boleh dihalang dari membuat pelan pembangunan. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan memastikan penduduk di Subang Jaya mendapat kawasan hijau yang secukupnya untuk menjalankan aktiviti rekreasi dan kemasyarakatan.
Kerajaan Selangor komited memastikan pembangunan tidak akan menjejaskan hak rakyat dan semua keputusan dibuat secara telus dan bertanggungjawab dan selari dengan agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

