KERAJAAN SELANGOR AGIH KEUNTUNGAN JUALAN PASIR KEPADA JKKK
Wednesday, 21 April 2010 | Ruangan: Kenyataan Media
KENYATAAN AKHBAR
9 MAC 2010
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan akan mengagihkan 10 peratus keuntungan hasil penjualan pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh negeri itu.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata hampir 7,000 Pengerusi dan Ahli Jawatan kuasa (AJK) JKKK di kampung tradisional, kampung baru, bagan dan kampung tersusun akan menikmati bayaran bonus itu.
Beliau berkata, bayaran bonus itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap JKKK yang selama ini banyak membantu kerajaan negeri mentadbir dan menyampaikan maklumat, dasar, polisi dan program kepada penduduk kampung.
Anak syarikat milik kerajaan negeri, KSSB diberi tanggung jawab sepenuhnya menguruskan aktiviti penjualan pasir di Selangor termasuk urusan pemberian permit dan khidmat nasihat.
Abdul Khalid berkata, walaupun baru beroperasi tidak sampai dua tahun itu, KSSB telah berjaya mencatatkan keuntungan kira-kira RM20 juta sepanjang tahun lalu.
“Kerajaan Negeri bercadang mengagihkan 10 peratus keuntungan ini selepas akaun ditutup Disember lalu. Bonus ini akan diagihkan kepada semua JKKK sebagai elaun tambahan oleh KSSB yang menjalankan pelombongan pasir di kawasan mereka.
“Adalah lebih baik kita terjemahkan keuntungan ini kepada rakyat dan kita mulakan dengan memberi kepada JKKK dan jika banyak lagi keuntungan, kita akan buat program untuk masyarakat setempat,” katanya
Menteri Besar berkata, kerajaan negeri bersedia memberi bonus itu setiap tahun kepada JKKK jika KSSB mencatatkan keuntungan operasi.
Ketika ini, JKKK hanya menerima elaun bulanan sebanyak RM450.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

