Selangor terbit buku panduan pencapaian

Friday, 05 March 2010 | Ruangan: Kenyataan Media

SHAH ALAM, 5 Mac – Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Mac 2008, Pakatan Rakyat mendapat kepercayaan rakyat Selangor untuk memerintah negeri ini. Selepas 24 bulan memerintah Selangor, kerajaan Pakatan Rakyat telah memperkenalkan polisi dan program yang mengutamakan kebajikan rakyat berlandaskan akauntibili dan ketelusan.

Sempena sambutan ulang tahun kedua kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, hari ini diterbitkan  buku panduan yang memaparkan petunjuk pencapaian sejak dua tahun lalu. Buku panduan bertajuk Kerajaan Selangor: Polisi, Program dan Fakta ini mengandungi program, polisi dan aktiviti yang dijalankan kerajaan negeri.

“Kami mempunyai semua maklumat lengkap dan terperinci mengikut portolio dan bidang tugas setiap Ahli Majlis Kerajaan Negeri (AMKN) dan berharap buku ini dijadikan rujukan untuk orang awam khususnya rakyat Selangor dan media cetak serta elektronik.

“Saya mengalu-alukan media, rakyat dan pihak yang berkepentingan supaya melihat dan mengkaji pencapaian kami ini. Sebagai kerajaan negeri yang mengutamakan akauntibili dan ketelusan, kami terbuka menerima kritikan dan maklum balas terhadap semua program dan polisi yang kita laksanakan,” kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ini menjadi satu pengalaman yang baik kepada kami dalam melaksanakan semua program dan polisi ini dengan tujuan utama mengubah taraf hidup rakyat supaya menjadi lebih baik. Kami berbangga dengan program kebajikan yang mensasarkan golongan miskin dan mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan.

Kerajaan Negeri yakin selepas dua tahun memerintah, kami semakin memahami keperluan dan kehendak rakyat.

Semua program dan polisi ini tidak akan dicapai tanpa kerja kuat semua terutama kakitangan kerajaan. Kerajaan negeri juga nengucapkan terima kasih kepada komuniti perniaga, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi komuniti dan organisasi perdagangan selain pihak media massa yang membantu Pakatan Rakyat mentadbir  Selangor dengan baik dan lancar.