Worldwide cadang perkenal sistem MBT lupus sampah

Tuesday, 02 February 2010 | Ruangan: Berita

KUALA SELANGOR 2 Feb. – Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) bercadang memperkenalkan sistem Rawatan Loji Mekanikal & Biologikal (MBT) di negeri Selangor, dan projek perintisnya dicadang dilaksanakan di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram di sini.

Pengerusi Worldwide, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman berkata, cadangan itu dibuat kerana sistem MBT dapat mempromosikan aktiviti kitar semula dan memanjangkan usia tapak pelupusan yang ada di negeri ini dan hasrat tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau, sejak beroperasi tiga tahun lalu, Tapak Pelupusan Sanitari Jeram seluas 64 hektar telah merawat sehingga 3,500 tan metrik sisa pepejal sehari.

“Pertambahan penduduk akan menyebabkan jumlah sisa pepejal turut meningkat dan dikhuatiri memendekkan jangka hayat tapak pelupusan ini tidak sampai 12 tahun.

“Tetapi jika sistem MBT dapat diperkenalkan, tapak pelupusan ini dapat terus digunakan sehingga lebih 15 tahun,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Perasmian Pejabat Operasi dan Penerimaan Sijil Pengiktirafan ISO 14001 SIRIM di Tapak Pelupusan Sanitari Jeram yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini hari ini.

Mohd. Arif memberitahu, mengikut jumlah sisa pepejal yang diterima kini aktiviti seterusnya yang akan dibangunkan di tapak pelupusan tersebut ialah projek gas tapak pelupusan dan karbon kredit sekali gus mampu memberi nilai tambahan dalam pendapatan Worldwide.

Sementara itu, Abdul Khalid ketika sidang akhbar memberitahu, kerajaan negeri akan membawa cadangan Worldwide (memperkenalkan sistem MBT) kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan agar ia dapat dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) kelak.

Tapak Pelupusan Sanitari Jeram mula beroperasi pada 1 Januari 2007 selepas penutupan tapak pelupusan Air Hitam Puchong pada Disember 2006.

Tapak pelupusan tersebut disiapkan dalam tempoh kurang 12 bulan menggunakan kaedah dan sistem kejuruteraan yang selamat menggunakan kepakaran tempatan.