Warkah MBPJ diperkenal

Tuesday, 02 February 2010 | Ruangan: Berita

PETALING JAYA 2 Feb. – Penduduk di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mendapat maklumat dan perkembangan terkini mengenai pihak berkuasa tempatan itu serta kawasan kediaman mereka menerusi buletin keluaran MBPJ mulai bulan ini.

Buletin Warkah MBPJ diperkenalkan untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat di Petaling Jaya, selain memaklumkan mengenai dasar MBPJ kepada umum.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, bahan penerbitan itu akan turut menyiarkan pelbagai perkhidmatan yang dilaksanakan kepada penduduk dan mengenal pasti sebarang masalah yang dihadapi.

“Kita akan perkenalkan Warkah MBPJ bermula bulan ini dan ia akan menjadi buletin bulanan kepada penduduk di sini.

“Kita lihat penerbitan ini dapat merapatkan MBPJ dengan masyarakat dan memastikan semua orang mengetahui sebarang aktiviti yang dibuat di sini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBPJ di sini baru-baru ini.

Tambah Mohamad Roslan, Warkah MBPJ akan dihantar ke peti surat semua penduduk di kawasan itu sebagai buletin bulanan yang harus dibaca semua.

Mengenai pencapaian MBPJ tahun lalu, katanya lagi, pihaknya juga masih tidak berpuas hati dan tidak mahu berasa selesa sungguh pun pelbagai pengiktirafan diterima.

Tegasnya, kajian mengenai keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan Majlis akan dilaksanakan untuk mendapat maklum balas pelanggan terhadap semua khidmat MPAJ selama ini.

“Kami tidak mahu berasa puas, masih banyak ruang untuk MBPJ menjadi lebih proaktif bagi memenuhi keperluan masyarakat,” katanya.