Worldwide cadang guna teknologi alternatif tingkatkan hayat tapak lupus sampah
Monday, 01 February 2010 | Ruangan: BeritaKUALA SELANGOR, 1 Feb. – Worldwide Holdings Bhd, syarikat yang mengendalikan Pusat Pelupusan Sampah Jeram di sini telah mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya teknologi pemprosesan sampah alternatif digunakan bagi memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan itu.
Terletak di atas tapak seluas 64 hektar di Bukit Kerayong, Jeram, pusat pelupusan sampah itu mampu menerima dan merawat sehingga 3,500 ton sisa pepejal sehari.
Sejak ia beroperasi pada Januari 2007, sejumlah 2.2 juta ton sampah telah diproses di tapak itu yang mengendalikan sisa pepejal dari Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Daerah Kuala Selangor.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang merasmikan tapak pelupusan itu di sini hari ini berkata kerajaan negeri menyedari keperluan itu memandangkan pertumbuhan penduduk yang pesat di negeri ini yang menyebabkan jangka hayat tapak pelupusan sampah itu mungkin hanya sampai 10 tahun bukannya pada jangkaan asal iaitu 20 tahun.
Selain daripada itu tanah di Selangor semakin terhad untuk dibina tapak-tapak pelupusan sampah yang baru, katanya.
Beliau berkata syarikat itu mencadangkan penggunaan Rawatan Biologi dan Mekanikal yang menggunakan kaedah kitar semula bagi mengurangkan jumlah sampah.
Beliau berkata kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan-cadangan Worldwide ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri supaya diambil kira dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

