Selangor fokus tingkatkan pendapatan petani: Yaakob

Monday, 01 February 2010 | Ruangan: Berita

TANJUNG KARANG, 31 Jan – Meningkatkan pendapatan peladang di negeri Selangor menjadi fokus utama kerajaan dalam memperkasa Ransangan Ekonomi Selangor tahun 2010.

Kerajaan Selangor berpendirian sistem yang berkesan mampu menjana pendapatan peladang dan penternak di negeri Selangor.

Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, pendapatan peladang di sekitar Selangor telah meningkat kepada RM1,500 sebulan.

Keberkesanan sistem perladangan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri berjaya menambah hasil perolehan peladang secara berperingkat.

” Ini yang saya sebut. Jika nak bantu petani, bukan beri duit kita kena beri tunjuk mereka sistem menanam padi. Alhamdulillah kita dah ajar banyak kali dan sistem itu nampaknya sudah mula berhasil. Hasil petani pun meningkat”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada TV Selangor ketika ditemui di sini Selasa lalu.

Yaakob menambah, petani tidak perlu menunggu arahan daripada kerajaan sebaliknya harus mencari inisiatif menambah hasil pendapatan mereka.

Siput Gondaang Emas yang menyerang tanaman padi memaksa kerajaan Selangor mencari alternatif membeli haiwan tersebut dan dibekalkan kepada penternak itik untuk dijadikan makanan.

“Kalau setakat kawalan sahaja tidak boleh mengurangkan populasi dia. Macam mana kita nak kawal, kerajaan negeri tawar melalui Jabatan Pertanian, kita nak beli siput Gondang ini dengan harga seringgit sekilo”.

Kerajaan Selangor turut membekalkan 150 botol racun ‘Mostox’ kepada 50 wakil peladang Kampung Sawah, Tanjung Karang untuk mengawal siput gondang yang menyerang pucuk padi.