1.2 juta raikan Thaipusam

Saturday, 30 January 2010 | Ruangan: Berita

BATU CAVES, 30 Jan  – Seramai 1.2 juta kaum India dari seluruh negara meraikan sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniam Suami Batu Caves sejak semalam hingga lewat petang tadi.

Pegawai Penerangan kuil, B. Vivekananda berkata, jumlah tersebut adalah lebih ramai berbanding tahun lalu lebih-lebih lagi apabila sambutan tahunan Thaipusam ini turut tersenarai dalam program pelancongan negeri Selangor.

“Sambutan Thaipusam pada tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu mungkin kerana cuti empat hari yang diberikan membuka lebih peluang kepada penganut Hindu untuk menyertai sambutan ini,” katanya kepada TV Selangor.

Seorang pelancong Jerman, Melanie Echterhot, 26, berkata, peluang mengunjungi sambutan perayaan tradisi seumpama ini memang dinantikan kerana menunjukkan keunikan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

“Kami menyusuri sepanjang laluan perarakan ini dan mendapati pelbagai keunikan dan sangat menarik perhatian memandangkan suasana dan budaya sebegini tidak terdapat di Jerman. Saya juga dapat melihat lelaki India memakai pelbagai kostum dengan memakai pelbagai aksesori di kulit mereka. Ramai juga pelancong yang datang berkunjung pada sambutan ini,” katanya.

“Ini pertama kali saya datang ke Batu Caves dan agak terkejut juga kerana sambutannya meriah dan luar daripada jangkaan saya. Penerimaan kaum India terhadap pengunjung bangsa lain juga sangat baik sekali,” kata seorang pengunjung Melayu, Mohd Shayful Wasli.

“Saya rasa perayaan Thaipusam ini dapat mengeratkan lagi hubungan berbagai kaum di Malaysia dan kami dapat mengenali adat dan budaya kaum lain di Malaysia dengan lebih mendalam,” kata seorang pengunjung Cina, Low See Wooi. – FANSURINA ABDULLAH