Kenyataan media: Selangor mahu bawa ketelusan ke dalam YBK

Saturday, 30 January 2010 | Ruangan: Berita

KENYATAAN MEDIA

29 JANUARI 2010

SELANGOR MAHU BAWA KETELUSAN KE DALAM YBK

Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan usaha mendeklasifikasikan semua maklumat berkaitan dengan aset dan dana yang diberikan kepada Yayasan Basmi Kemiskinan yang melibatkan Kerajaan Negeri.

Pejabat Dato Menteri Besar Selangor telah menerima banyak dokumen dari pelbagai unit kerajaan berkenaan semua aset,dan dana yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada yayasan tersebut untuk aktiviti membasmi kemiskinan. Semua maklumat ini akan didedahkan di dalam satu laporan terperinci mengenai YBK yang akan dikeluarkan secepat mungkin.

Laporan polis yang dibuat oleh Pengerusi YBK Dato’ Zainal Abidin Sakom hari ini tidak akan mematahkan hasrat Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan laporan tersebut. Perlu ditegaskan bahawa segala kenyataan lepas yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor ataupun wakil-wakilnya telah dibuat demi ketelusan dan pertanggungjawaban. Malangnya, kenyataan -kenyataan ini telah dipolitikkan dan dilaporkan secara sengaja bagi menjatukan imej Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Sepertimana yang dinyatakan oleh Dato’ Menteri Besar sebelum ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk bekerjasama dengan YBK bagi memastikan semua dana dan aset yang telah diberikan kepada yayasan tersebut dikendalikan secara telus dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat.

Keputusan ini selari dengan komitmen Kerajaan Negeri Selangor terhadap ketelusan dan pertanggungjawaban dalam pendbiran.

YB NIK NAZMI NIK AHMAD
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR