PERUTUSAN Y.A.B DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR SEMPENA SAMBUTAN HARI THAIPUSAM
Friday, 29 January 2010 | Ruangan: BeritaSaya mengucapkan Selamat Hari Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu. Saya difahamkan Thaipusam merupakan hari untuk menunaikan hajat kepada Dewa Murugan dan mendapat restu daripada tuhan.Perayaan ini diraikan pada hujung Januari atau awal Februari, iaitu semasa bulan mengembang penuh. Oleh itu, mudah-mudahan hari Thaipusam pada tahun ini membawa banyak ganjaran kepada para penganut Hindu yang memohon pelbagai hajat dan permintaan.
Memang sudah menjadi tradisi, hari Thaipusam disambut secara besar-besaran di Batu Caves setiap tahun oleh para penganut agama Hindu. Dalam hubungan ini, ramai pelancong terutama penganut agama Hindu dari dalam dan luar negara tertarik untuk datang ke Malaysia, khususnya ke Batu Caves, yang terletak dalam negeri Selangor.Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor turut bergembira dengan seluruh penganut agama Hindu dan pihak lain yang merayakan hari Thaipusam.
Kami menyediakan pelbagai kemudahan awam di pekarangan Kuil Batu Caves dan kawasan sekitarnya supaya kalangan penganut dan pelancong yang datang boleh beribadat atau melancong dengan selesa dan aman.Tahun ini disediakan sebuah pusat penyediaan kavadi yang baharu di tebing Sungai Batu. Pusat ini disumbangkan oleh Ahli Dewan Negeri Kawasan Batu Caves, iaitu Yang Berhormat Tuan Amiruddin Shaari dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang, Encik Gopalan.
Untuk makluman semua, Batu Caves merupakan satu daripada 10 ikon pelancongan negeri Selangor. Sempena kempen Selangor Shines, Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor melakukan usaha-usaha untuk mempromosikan Batu Caves sebagai antara destinasi yang perlu dilawati oleh mereka yang datang ke Malaysia dan Selangor khususnya.
Selain itu, Tourism Selangor juga sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Selayang untuk menganjurkan acara-acara di sekitar kawasan Batu Caves agar dapat menarik perhatian ramai pelancong dan seterusnya datang berkunjung ke Batu Caves ini, setiap tahun.Tambahan pula, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memang prihatin dan bersikap adil dalam hal memberi bantuan kepada rakyat berbilang kaum dan agama. Contohnya, kita membantu dan memajukan kuil-kuil di negeri Selangor. Dalam tahun 2009 sahaja sebanyak 125 kuil Hindu menerima bantuan RM2.5 juta untuk membaik pulih serta membiayai upacara sembahyang.
Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat juga memberi sumbangan wang RM100 ribu untuk membina sebuah sekolah bagi melatih paderi-paderi di Bukit Rotan, Kuala Selangor.Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor turut menubuhkan Jawatankuasa Hal Ehwal selain Islam untuk memelihara keperluan masyarakat selain Islam, dan menyenaraikan garis panduan berhubung hal ehwal selain Islam.Garis panduan tersebut menetapkan segala prosedur berhubung pembinaan, perobohan dan bantuan kewangan bagi bangunan keagamaan selain Islam di negeri Selangor. Usaha ini membuktikan yang Kerajaan Pakatan Rakyat memang menghormati keperluan-keperluan berhubung kepentingan semua agama.
Kerajaan Negeri Selangor sekarang juga tidak pernah lupa terhadap tugas dan tanggungjawab membela masyarakat India, terutama yang berada di luar bandar. Contohnya, kami menyediakan peruntukan sebanyak RM4 juta untuk mengadakan pelbagai kemudahan di sekolah-sekolah Tamil supaya anak-anak pekerja ladang dan murid-murid di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Tamil di luar bandar berkeadaan lebih selesa dalam proses pengajaran dan pembelajaran.Bagi anak-anak pekerja ladang yang berpotensi untuk menyambung pelajaran pula, Kerajaan Negeri memberi bantuan kewangan bagi mereka menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi, misalnya belajar di kolej teknik INPENS milik Kerajaan Negeri Selangor.
Saya sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Hari Thaipusam kepada seluruh penganut agama Hindu.
Terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM,
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR.



