Mahkamah Tinggi putuskan tak boleh bicara isu raja

Friday, 29 January 2010 | Ruangan: Berita

KUALA LUMPUR, 29 Jan.- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membuat keputusan bahawa tindakan Pemangku Sultan Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra menyingkirkannya adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra daripada Majlis Perajaan negeri itu tidak boleh disemak semula.
Hakim Mohamad Ariff Md Yusof berkata sebuah mahkamah undang-undang bukanlah forum yang sesuai bagi membuat keputusan mengenai isu membabitkan hak istimewa diraja kerana sebarang pertikaian perlu diselesaikan sendiri oleh Sultan Kelantan.
Tengku Muhammad Fakhry, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, telah mencabar keputusan Tengku Muhammad Faris menyingkirkannya daripada Majlis Perajaan Kelantan pada 16 September tahun lepas.
Mengikut Perkara 5 Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan, majlis itu bertanggungjawab mengesahkan waris takhta dan menentukan sama ada terdapat kekosongan pada takhta disebabkan ketiadaan Sultan di negeri itu untuk tempoh lebih dari setahun.