MB guna kuasa dedah maklumat YBK

Thursday, 28 January 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 27 Jan  – Kerajaan Negeri bersetuju untuk mendeklasifikasikan beberapa maklumat mengenai program kebajikan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) serta harta dan dana yang melibatkan Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hak beliau sebagai Menteri Besar di bawah Seksyen 2c Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini (semalam) bersetuju mengdeklasifikasikan beberapa maklumat mengenai perkara itu.

“Ia membolehkan Kerajaan Negeri menyediakan laporan terperinci bagi menerangkan status penyertaan Kerajaan Negeri dalam YBK serta maklumat mengenainya boleh didedahkan dan diberikan kepada masyarakat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Exco di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, keputusan itu dibuat selari dengan komitmen Kerajaan Negeri terhadap ketelusan dan pertanggungjawaban dalam pentadbiran.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui rakyat Selangor akan mengalami kerugian dari segi peluang pendidikan ekoran keengganan pihaknya meluluskan pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di lokasi asal di Serendah, Rawang, sebelum ini.

Namun katanya, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada Kerajaan Negeri walaupun rakyat akan menanggung kerugian akibat pemindahan lokasi kampus UiTM ke Jasin, Melaka.

“Memanglah rugi, tapi yang rugi itu adalah rakyat, bukannya kepada Kerajaan Negeri. Tapak itu boleh diguna pakai untuk tujuan lain.

“Sekiranya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) nak kampus di mana-mana kawasan, terpulanglah kepada kerajaan Persekutuan. Cuma kalau ia melibatkan penggunaan dana rakyat dan pembayar cukai, ia perlu dikaji dari segi cara pelaksanaannya, kita tak persoalkan keputusan yang telah dibuat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakan Kerajaan Negeri tidak meluluskan pembinaan kampus UiTM yang akan dibina oleh YBK di Serendah, Rawang akan merugikan rakyat dan negeri itu dari segi peluang serta pusat pendidikan utama di negara ini.

Abdul Khalid berkata, sepatutnya Kerajaan Persekutuan seharusnya mengadakan rundingan terus dengan Kerajaan Negeri berhubung pembinaan kampus baru UiTM itu di Serendah.

Ini kerana katanya, walaupun tanah tersebut disumbangkan oleh Kerajaan Negeri kepada YBK, pembinaan kampus berkenaan dilakukan di kawasan dalam Selangor.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyatakan pendirian keras tidak membenarkan pembinaan kampus berkenaan di kawasan Serendah setelah syarat supaya yayasan itu melantik dirinya sebagai Pengerusi serta Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail sebagai ahli lembaga pengarah YBK ditolak bulat-bulat oleh yayasan tersebut.