Dua pilihan hapus siput gondang

Thursday, 28 January 2010 | Ruangan: Berita

TANJONG KARANG, 27 Jan  – Petani boleh menggunakan dua pilihan mengelakkan masalah siput gondang emas sama ada mengutip serta menjualnya atau membuat semburan racun secara berkelompok.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor Yaakop Sapari berkata, dua kaedah digunakan ini bagi memastikan siput gondang emas tidak merosakkan tanaman dan mengurangkan jumlah induknya.

Menurutnya, siput yang diterima akan digunakan bagi makanan sumber protein terna- kan itik.

“Kita akan menjalankan kegia-tan mengutip siput ini dengan menjual RM1 sekilo dan telurnya RM2 sekilo serta menjalankan proses meracun secara berkelompok untuk membunuh benih dan anak siput tersorok di dalamnya.

“Buat masa ini, dengan persetujuan melantik penyelaras blok C, Sawah Sempadan Parison Diman mengumpulkan siput yang ingin dijual pada setiap hari Jumaat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dengan mengurangkan penggunaan racun dan mengutip siput, mereka boleh mengurangkan siput secara mesra alam dan secara tidak langsung mengurangkan populasinya.

Sementara itu, Pemangku Pegawai Pertanian Daerah Kuala Selangor, Zulkifli Zakaria menjelaskan isu racun yang tidak berkesan membunuh siput perlu dikaji dengan teliti.

“Racun dibekalkan pihak Pertubuhan Peladang Kawasan Tanjung Karang mengikut pilihan petani sendiri.

“Masalah ini berkemungkinan teknik meracun atau pemilihan racun yang tidak sesuai,” katanya.

Zulkifli berkata, bekalan racun dibekalkan kepada petani memang tidak mencukupi dan hanya cukup untuk 45 petani sahaja.

“Kita akan cuba memohon peruntukan dari pihak Kementerian Pertanian agar kita dapat membuat penyemburan racun di seluruh kawasan padi di sekitar Sawah Sempadan Tanjung Karang,” katanya.

Dalam pada itu juga, Yaakob turut menyampaikan 150 kotak racun pemusnah siput gondang emas untuk petani Blok C, Sawah Sempadan.

Baru-baru ini, media menyiarkan kisah masalah petani mengenai siput gondang emas yang menjejaskan tanaman mereka di Kampung Sawah Sempadan, Tanjong Karang.