34 Warga Emas Ijok Terima Sumbangan

Monday, 25 January 2010 | Ruangan: Berita

SUNGAI BULOH, 25 Jan. -  Seramai 34 warga emas di DUN Ijok menerima sumbangan fasa kedua di bawah Skim Mesra Usia Emas yang diadakan di taman awam, Taman Coalfield di sini.

Hadir menyampaikan sumbangan tersebut, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin,  Dr Xavier Jayakumar.

Abdul Khalid berkata, pemberian sumbangan ini dilakukan bertepatan dengan program Merakyatkan Ekonomi Selangor tanpa mengira fahaman politik.

“ Dulu ada juga beri skim usia emas pada tahun 2006, 2007, ada beri, tapi orang tidak tahu dia beri kepada siapa. Yang mati pun dia pilih, mati dalam parti ini dia dapat. Mati dalam parti lain tidak dapat. Tapi kalau kita, tidak kira. Semua dapat” katanya.

Seramai 1,500 daripada 2,500 warga emas yang berdaftar dan layak telah mendapat sumbangan manakala bakinya sedang dalam proses pengagihan.

Menurut AbdulKhalid, rakyat Selangor kini semakin bijak dalam menilai kepimpinan Pakatan Rakyat yang telus dalam menjalankan tanggungjawab.

“ Ini untuk menunjukkan bahawa rakyat sudah matang. Dia pilih kepimpinan kerana kepimpinan itu dapat menjalankan tugas dengan baik. Dengan amanah” ujarnya lagi.

Beliau yang ditemui dalam sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Beliau berharap supaya kerjasama ini akan berterusan dalam merancakkan pembangunan di Selangor tanpa mengenepikan kebajikan rakyatnya.

“ Pertama saya berterima kasih kepada Pejabat Daerah dan rakan-rakan dari kumpulan UPEN yang ditugaskan untuk menjayakan program merakyatkan ekonomi terutama dari segi pemberian pertolongan untuk usia emas, keluarga-keluarga yang berumur 60 tahun ke atas, yang telah meninggalkan kita dan mereka yang telah dijanjikan diberikan 2,500 tetapi ini program yang berterusan”  katanya.