YBK harus beri maklumat penuh
Monday, 18 January 2010 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM 18 Jan. -: Kerajaan Negeri Selangor mahu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mendedahkan maklumat semua bantuan yang telah diterima daripada Kerajaan Negeri semenjak yayasan itu ditubuhkan.
Ini adalah kerana laporan kewangan yayasan tersebut yang dipaparkan di dalam laman web rasminya tidak memberi maklumat penuh berkenaan harta dan wang yang telah diberi oleh Kerajaan Negeri Selangor.
“Kita sedia maklum laporan kewangan yang telah dipaparkan di dalam laman web mereka. Tetapi laporan kewangan tidak memberi maklumat terperinci tentang harta dan wang yang telah diberikan oleh kerajaan. Sebab itulah kita kata perlunya yayasan tesebut membuat analisa dan penyataan semula,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menteri Besar berkata laporan kewangan yang dipaparkan menyebut tentang tanah seluas 1,300 ekar di Serendah yang bernilai lebih kurang RM78 juta (dikira pada RM60,000 setiap ekar). “Tanah itu adalah pemberian yang besar nilainya tetapi tidak ada dalam laporan kewangan. Ini baru satu contoh. Jadi, kita harap YBK akan lebih telus dan memberikan maklumat yang sepenuhnya.”
Beliau juga berkata YBK tidak pernah membayar satu sen pun untuk premium semenjak 2001 dan tidak mengambil sebarang usaha untuk membuat pembayaran. Yayasan tersebut hanya berhubung dengan Kerajaan Negeri ketika membuat permohonan untuk menukar status tanah tersebut dari pertanian kepada pengunaan komersil.
Jika permohonan penukaran status dibuat, tanah tersebut akan bernilai lebih kurang RM540 juta (dikira pada RM10 perkaki persegi) “Untuk tanah yang begitu besar nilainya, sudah tentulah Kerajaan Negeri perlu prihatin mengenai hal bagaimana ianya diurus tadbir. Mungkin kerajaan terdahulu tidak mahu mengambil tahu tapi Pakatan Rakyat tidak boleh membelakangkan isu tersebut kerana kami bertanggungjawab atas setiap sen wang rakyat,” kata Abdul Khalid.

