Keputusan PSMA 2009 di Selangor meningkat

Friday, 15 January 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 15 Jan. -  Seramai 84 peratus daripada 2,267 pelajar yang menduduki Peperiksaan Sijil Menengah Agama (PSMA) tahun 2009 lulus dalam ujian tersebut.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, keputusan itu memperlihatkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding pencapaian 2008 dimana  82.3 peratus daripada 2,2446 pelajar lulus dalam peperiksaan yang sama.

“Mata pelajaran Bahasa Arab memperlihatkan peningkatan yang memberangsangkan apabila mencatat peningkatan sebanyak 10.7 peratus iaitu 76.8 peratus berbanding 66.1 peratus pada 2008.

“Mata pelajaran lain yang turut memperlihatkan peningkatan termasuklah fikah/tauhid mencatatkan peningka- tan 10.1 peratus serta tilawah dan hafazan mencatatkan calon lulus sebanyak 100 peratus berbanding 99.8 peratus pada 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Menengah Rendah Agama (SMA), di sini, kelmarin.

Menurut beliau, seramai 293 pelajar atau 12.9 peratus mencapai tahap keputusan membanggakan apabila mendapat pangkat mumtaz (terbaik) dalam peperiksaan tersebut.

Seramai 645 (28.5 peratus) mencatat keputusan Jayyid Jiddan (sangat baik), 579 (25.6 peratus) mendapat pangkat jaiyid (baik) manakala 388 pelajar (17 peratus) mendapat pangkat maqbul (lulus).

Sementara itu, pelajar yang gagal dalam peperiksaan ini, didapati menurun berbanding tahun 2008, di mana seramai 429 pelajar gagal pada tahun 2008 dan 362 pelajar pada tahun 2009.

Pada majlis yang sama, Aisyah Syahira Abdul Hamid, pelajar Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah Shah Alam yang mencatat pencapaian 98.2 peratus telah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang PSMA 2009 bagi kategori perempuan.

Sementara itu, Muham- mad Khairul Nizam Abdul Izam dari Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya, menerima Anugerah Pelajar Cemerlang PSMA 2009 kategori lelaki apabila mencatat keputusan peperiksaan 97.2 peratus.

Bagi Anugerah Sekolah Cemerlang PSMA 2009, Sekolah Agama Menengah Bestari, Subang Jaya mencatat 100 peratus pelajar lulus dalam peperiksaan itu.