Laluan Shah Alam Ke Pelabuhan Klang, Banting Melalui Jambatan Kota Akan Ditutup

Tuesday, 12 January 2010 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 12 Jan. – Laluan Persiaran Sultan Ibrahim ke Jambatan Kota di Klang  yang menghubungkan Shah Alam dengan Klang Selatan, Pelabuhan Klang dan Banting akan ditutup kepada semua lalu-lintas mulai 22 Januari ini.
    Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam satu kenyataan berkata, penutupan laluan itu  adalah bagi kerja-kerja pembinaan jalan di bawah Sistem Penyuraian Lalu-lintas Bandar Klang Utara, yang kini telah menghampiri Jambatan  Kota yang merentasi Sungai Klang.
    ”Berikutan penutupan itu, pengguna laluan Persiaran Sultan Ibrahim dari Shah Alam atau Jalan Sireh akan dilencongkan ke Jalan Batu Tiga untuk menuju ke Klang Selatan, melalui Jambatan  Musaeddin atau terus ke Kapar/Meru melalui Jalan Pasar.
    ”Bagi pengguna yang ingin ke Kapar, Meru dan Pelabuhan Klang , mereka boleh menggunakan Lebuhraya North Klang Valley Expressway terus ke  Lebuhraya Shapadu.
    ”Bagi yang ingin ke Banting, Bandar Botanik, Bukit Tinggi, Taman Andalas, Taman  Klang Jaya dan Taman Sentosa pula, mereka dinasihatkan supaya menggunakan Lebuhraya Kesas,” kata MPK.