Pakatan Rakyat Kutuk Tindakan Serang Tiga Gereja

Friday, 08 January 2010 | Ruangan: Berita

mbSHAH ALAM 8 Jan. – Tiga parti yang menganggotai Pakatan Rakyat mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang tiga  gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.

Tiga pemimpin Pakatan Rakyat  iaitu Ketua Pembanghang di Parlimen dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim , Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan kenyataan akhbar bersama hari ini bagi mengutuk tindakan itu.
Menrut mereka perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini.
“Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini. Setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan. Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan,” kata mereka.

Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.