Laluan Dibuka Sehingga Mahkamah Buat Keputusan
Friday, 30 May 2008 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 30 Mei – Isu laluan kontroversi yang melibatkan pembinaan tembok penghadang di Bandar Mahkota Cheras ke persimpangan Bandar Tun Hussein Onn, Lebuh Raya Cheras-Kajang menemui jalan penyelesaiannya hari ini.
Kabinet menetapkan yang laluan itu akan terus dibuka sehingga mahkamah membuat keputusan berhubung pertikaian penutupan laluan itu antara Grand Saga Sdn Bhd dan Narajaya Sdn Bhd.
Isu itu berlarutan sejak Grand Saga yang merupakan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan membina tembok penghadang yang menghalang laluan keluar masuk penduduk dari Bandar Mahkota Cheras pada Januari 2006.
Dengan halangan tersebut, penduduk terpaksa membayar tol di Plaza Tol Batu 11, Cheras.
Grand Saga pada Jun 2006 dilaporkan sedia membuka laluan alternatif ke Bandar Mahkota Cheras jika pemaju projek perumahan itu iaitu Narajaya dapat memenuhi semua syarat yang dipersetujui bersama sebelum itu, antaranya membayar sejumlah pampasan kepada Grand Saga.
Jawatankuasa Bertindak Buka Jalan Bandar Mahkota Cheras pada 21 April lalu bertindak memecahkan tembok itu dan melakukan kawalan bagi memastikan laluan itu sentiasa dibuka kepada trafik.
Insiden pecah dan bina semula tembok berkenaan akhirnya membawa kata putus oleh kerajaan pusat yang menerima cadangan Kementerian Kerja Raya agar laluan itu dibuka sementara demi mengelakkan ia berlarutan.
Menteri Kerja Raya, Dato’ Ir Mohd Zin Mohamed berkata keputusan itu mengambil kira kepentingan penduduk taman perumahan Bandar Mahkota Cheras dan kawasan sekitar.
Sementara itu, kerajaan negeri Selangor hari ini mengucapkan terima kasih di atas keputusan yang diambil kerajaan pusat hari ini.
Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar, keputusan itu disifatkan satu tindakan yang betul.
Kerajaan negeri berharap penduduk berpuas hati dan bersyukur dengan keputusan kerajaan pusat itu. – NOOR ALLIA KASSIM

