Mangsa Keganasan BN Sambut Baik Keputusan Mahkamah

Wednesday, 23 December 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 23 Dis. – Sivarasa Rasiah mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kerajaan telah berlaku salah dan melanggar undang-undang terhadap peserta Persidangan Timor Timur Asia Pasifik ke-2.

Dalam kejadian 13 tahun lalu itu, persidangan membincangkan konflik Timor Timur itu dihentikan gerombolan pemuda BN. 60 peserta persidangan termasuk Sivarasa Rasiah dikasari gerombolan terbabit dan ditahan polis tidak lama kemudian.

Meskipun keadilan lambat kunjung tiba, Sivarasa berkata keputusan mahkamah semalam menunjukkan penahanan mereka oleh pasukan polis adalah tidak sah.

“Kita mengalukan keputuasan mahkamah bahawa polis telah bertindak secara salah dan melanggar undang- undang  ketika membuat tangkapan pada tahun 1996, apabila kita semua hampir 60 peserta tempatan ditangkap dan ditahan.

“Keputusan ini menjelaskan pendirian kita dari mula iaitu Persidang Apcet itu adalah sah,  tidak patut diberhentikan dan tindakan pemuda Barisan Nasional (BN)  pada masa itu adalah tindakan liar. Mereka bertindak sebagai perusuh dan melakukan sesuatu yang tidak sah,” katanya.

Hakim Datuk Wan Adnan @ Addinan Muhamad semalam memerintahkan supaya Kerajaan Malaysia dan polis membayar ganti rugi RM30,000 kepada setiap 29 peserta persidangan Apcet pada tahun 1996.

Gantirugi itu berdasarkan kesusahan mereka ditahan selama 24 jam iaitu dari 9 hingga 10 November 1996.

Bagaimanapun, Sivarasa menyatakan rasa kecewanya kerana menyifatkan hakim tersilap dalam membuat keputusan kerana tidak mengambil kira jumlah tahanan tambahan lima hari  yang dijalani beliau dan beberapa peserta lain.

Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang Jaya berkata, hakim menetapkan tahanan lima hari itu adalah sah kerana telah mendapat reman daripada Mahkamah Majistret.

“Bagi saya itu tidak logik kerana jika tangkapan itu tidak sah dan tangkapan pada hari pertama itu tidak sah, macam mana perin tah Mahkamah Majistret boleh menghalalkan tahanan yang tidak sah itu. Itu aspek yang kita kecewa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan berbincang dengan peguam sama ada mahu mengemukakan rayuan atau tidak.

Beliau turut kesal dengan tindakan hakim yang disifatkan sebagai tidak membuat keputusan tepat sama ada terdapat konspirasi antara kerajaan dan polis dalam insiden berkenaan.

“Ada bukti jelas Timbalan  Menteri pada masa itu, Datuk Megat Junid membuat pertemuan dengan polis dan Umno-BN  dan mengarahkan mereka memberhentikan persidangan Apcet itu. Itu membuktikan ada konspirasi tetapi kita lihat hakim telah gagal dari aspek ini,” katanya.