AMK Pulau Pinang Lancar Demonstrasi Desak Kerajaan Adil Terhadap Anwar Ibrahim

Sunday, 20 December 2009 | Ruangan: Berita

PULAU PINANG, 20 Disember – Demi menyuarakan ketidakpuasan keatas ketidakadilan kerajaan dalam membuat keputusan, Jumaat lalu Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) sekali lagi membuat satu demonstrasi secara aman dengan disertai Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang, Mansor Othman.

Demonstrasi secara aman itu dilakukan di hadapan masjid Kubang Semang dan disertai lebih 30 orang ahli Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang bagi menyuarakan rasa hati mereka kepada kerajaan supaya memberi pengadilan yang telus kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes liwatnya supaya dibicarakan di Mahkamah Syariah, bukan di Mahkamah Sivil.

Menurut Timbalan Ketua Menteri (1) Pulau Pinang, Mansor Othman, kerajaan sepatutnya memberi kehakiman secara adil dan tulus kepada semua rakyatnya yang mana kerajaan juga perlu mempertimbangkan dan mendengar suara-suara rakyat bagi menampakkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat secara keseluruhannya.

Jelas beliau lagi, kes tuduhan fitnah Anwar merupakan satu konspirasi tertinggi daripada pemimpin-pemimpin Negara iaitu Barisan Nasional yang mana Umno mengulangi sekali lagi perbuatan yang sama terhadap Anwar seperti mana yang berlaku pada tahun 1998.

Terdahulu, Datuk Jamil Khir menyatakan di Parlimen bahawa kes Datuk Seri Anwar di Mahkamah Syariah tentang tuduhan beliau kepada Saiful Bahari menyamai tuduhan khazaf itu tidak boleh di bicarakan dan ditangguhkan bicara sehingga selesai kes itu di Mahkamah Sivil.

Ini jelas menunjukkan Menteri itu merendahkan martabat Syarak Mahkamah Syariah dan agama Islam di dalam undang-undang Persekutuan yang mana menunjukkan bahawa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil itu sama tahapnya.

Turut hadir di demonstrasi secara aman ini ialah Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang (AMKPP), Amir Ghazali.