Sultan Sharafuddin Berjiwa Rakyat, Diiktiraf Putera Inspirasi

Friday, 11 December 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 11 Dis. – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-haj hari ini menyambut keputeraan baginda ke-64.

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke-9 pada 22 November 2001 bersamaan 6 Ramadan 1422 Hijrah.

Sultan Sharafuddin merupakan putera sulong Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-haj dan Raja Saidatul Ihsan Tengku Badar Shah, diputerakan di Istana Jemaah Klang pada 24 Disember 1945.

Baginda ditabalkan dan dimahkotakan dengan penuh adat istiadat diraja di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang pada 8 Mac 2003 bersamaan dengan 5 Muharam 1424 Hijrah.

Baginda Sultan memiliki dua puteri iaitu Tengku Zerafina, Tengku Zatashah dan seorang putera Tengku Amir Shah yang kini menjadi Raja Muda Selangor.

Baginda mencapai kejayaan tertinggi dalam kegiatan sukan lasaknya ialah bejaya menamatkan Cabaran Motor Peking-Paris pada 1998.

Sultan Sharafuddin turut terkenal sebagai insan yang sangat peka dengan perkembangan semasa dan sentiasa memberi idea bernas dalam mengatasi masalah kemanusiaan. Begitu juga di dalam bidang agama, baginda sering mengingatkan rakyat agar benar-benar mengikut ajaran Islam dengan penuh keyakinan.