Sultan Selangor arah JAIS perketat pemantauan pendakwah Islam
Friday, 11 December 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM 11 Dis. -Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memantau ceramah dan pengajaran agama oleh pendakwah dengan lebih ketat.
Baginda menegaskan langkah ini adalah untuk memastikan dakwah yang disampaikan tulus dan benar, seraya membantu perkembangan agama Islam di negeri Selangor.
Baginda turut memperingati individu yang ingin menyampaikan ceramah dan dakwah supaya mendapatkan tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“Menyedari permasalahan ini, Beta menegaskan bahawa amat perlu dibuat pengawalan oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor terutama berhubung dengan ceramah-ceramah atau pengajaran agama Islamdi Selangor kerana ramai orang-orang dari luar yang datang ke negeri ini yang sebahagiannya bukan hanya mencari rezeki, tetapi juga berdakawah dan mengajar untuk perkembangan Islam,” kata baginda.
Baginda turut menegaskan supaya peraturan agama Islam dipatuhi agar umat Islam dipandang mulia dan dapat dihayati oleh umat bukan Islam untuk mendekati ajaran Islam.
Tambah baginda, ini bagi memastikan perpaduan ummah yang kukuh di negeri Selangor tidak sewenang-wenangnya dipesongkan oleh fahaman yang mengelirukan.
Baginda turut menitahkan rakyat di negeri Selangor mengelakkan spekulasi yang boleh mencetuskan huru-hara agar keharmonian dan keamanan terjaga.
“Beta menitahkan supaya masyarakat di sini supaya mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan huru-hara yang menjejaskan keharmonian dan keamanan negeri yang kita sayangi,” titah baginda.
DYMM Sultan Selangor hadir ke majlis perasmian masjid Bandar Diraja Klang hari ini.
Turut berangkat ke majlis perasmian itu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohammed Khusrin Munawi.
Masjid Terapung Klang yang siap dibina sepenuhnya pada 21 Ogos 2009 yang lalu menelan kos sebanyak RM24.3 juta dan boleh memuatkan kira-kira 3 ribu jemaah pada suatu masa.- Hadri Yaziz



