JAIS bukan agen UMNO: Khusrin

Friday, 11 December 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 10 Dis. – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakannya bersekongkol dengan Umno-Barisan kerana menyekat pertauliahan pendakwah yang juga bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin.

Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin menjelaskan, JAIS megamalkan sikap samarata dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dan setiap keputusan yang dibuat adalah berlandaskan undang-undang  dan garis panduan yang telah termaktub dalam enakmen perundangan bertauliah.

Khusrin bertegas akan mengenakan tindakan yang sewajarnya kepada individu-individu yang melanggar tatasusila perundangan Islam tidak mengira kedudukan.

“Ini masalahnya, dulu masa UMNO memerintah,saya dikata JAIS ni bawah PAS. Bila PR memerintah dikatanya kita orang UMNO. Pada saya pekerjaan kita bukan UMNO bukan PAS.

“Kita buat tindakan berdasarkan undang-undang yang sedia ada. Enekmen yang berkuatkuasa ketika ini. Dan saya dan pegawai-pegawai saya diamanahkan bila berlaku perkara yang melanggar peraturan dan enakmen, ada tanggungjawab kita untuk ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Kad Perakuan Nikah Pintar di Shah Alam.

Jelas Khusrin lagi, tindakan yang dikeluarkan oleh JAIS telah mendapat persetujuan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Khusrin berkata, pihaknya tidak akan menyekat sewenag-wenangnya pertauliahan mana-mana individu jika tidak wujud sebarang percanggahan dengan undang-undang.

“Undang undang ini across the board. Siapa buat salah kita ambil tindakan dan tidak ada soal pilih kasih  dan tidak timbul soal politik,” kata Khusrin.

Jelas Khusrin lagi, garis panduan telah diberi kepada mana-mana individu yang ingin mendapatkan pertauliahan, maka mereka harus bersedia dan sentiasa berwaspada dalam melaksanakan tanggungjawab agar tidak timbul masalah berhubung pertauliahan.

Kata beliau lagi, seramai 30 orang hadir di pejabat JAIS setiap bulan untuk mendapatkan pertauliahan dan pada pandangan beliau tidak timbul sebarang masalah yang membawa kepada penyekatan pertauliahan oleh JAIS.-HADRI YAZIZ