40 rumah kebajikan terima sumbangan RM710,000
Thursday, 10 December 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 10 Dis – Sejumlah RM710,000 sumbangan diberikan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) kepada 40 rumah kebajikan seluruh Selangor, semalam.
Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ali Mohamad, di Hotel De Palma, di sini.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah berkata, sebanyak RM340,000 diperuntukkan kepada rumah kebajikan dengan menawarkan khidmat perlindungan, pemulihan dan rawatan manakala RM340,000 lagi diperuntukkan kepada rumah fakir miskin, ibu tunggal, warga emas serta anak yatim.
“Sumbangan hari ini adalah antara tanggungjawab kita, bagi Lembaga Zakat, Majlis Agama Islam Selangor untuk menyumbangkan sedikit sebanyak daripada kutipan zakat terutama kepada rumah pertubuhan ini, tanggungjawab untuk membantu anak-anak yatim misalannya, begitu juga rumah perlindungan HIV/Aids dan sebagainya, InsyaAllah.
“Ini mungkin satu usaha yang baik dan saya mengucapkan tahniah serta syabas kepada pengusaha yang melaksanakan program ini. Tanpa kerjasama semua pasti sukar menjayakan program seumpama ini. Jadi saya ingat usaha-usaha mereka ini usaha yang murni,” katanya.
Ali berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan cek kepada semua penerima.
Antara rumah kebajikan yang menerima sumbangan di bawah asnaf Al-Riqab ini ialah Pusat Rawatan Darul Islah,Sabak Bernam, Pengurusan Baitul Fiqh, Subang Jaya, Pengurusan Baitul Islah, Shah Alam dan Persatuan Kebajikan Anak HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia(PERNIM).
Sementara itu, pengasas yang juga Yang dipertua Pernim, Norlina Alawi, ketika ditemui, bersyukur dengan sumbangan yang diberikan Mais.
Menurutnya, sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban beliau membesarkan 60 anak Pernim.
“Saya bersyukur kerana pihak Mais dan Lembaga Zakat Selangor memberi bantuan walaupun tidak boleh mencapai apa yang saya perlukan setiap bulan tapi saya bersyukur walaupun sedikit lama-lama jadi bukit, InsyaAllah,” katanya.

