Selangor Sambut Baik Keputusan Kabinet Rombak BTN
Tuesday, 01 December 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 1 Disember – Kerajaan negeri Selangor menyambut baik keputusan Kabinet untuk merombak semula sukatan program Biro Tata Negara (BTN) yang menjadi kontroversi akhir-akhir ini.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata usaha kerajaan negeri mendedahkan mengenai intipati kursus berkenaan akhirnya membuka mata Kabinet.
“Sama ada pihak kerajaan persekutuan bersetuju atau tidak impact(kesan) hasil daripada keputusan Kerajaan Negeri Selangor telah membuka beberapa perbahasan bagaimana cara pengajaran nasionalisme dan patrotisme dapat dilakukan,” katanya.
Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kualiti 2009 di sini pagi tadi.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam kenyataannya semalam berkata, jemaah menteri bersetuju merombak semula kursus itu bagi menjadikannya lebih efektif merangkumi pelbagai kaum dan tidak menjadi sumber pepecahan.
Jelas Khalid, keputusan ini adalah yang terbaik setelah BTN dilihat menyebarkan sentiment perkauman dan menyuntik kepentingan politik Barisan Nasional semata-mata.
Beliau turut mencadangkan penglibatan semua pihak dalam merangka silibus dan modul kursus itu supaya tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak.
“Saya rasa ada baiknya kira mengadakan perbincangan antara pelbagai pihak termasuk badan-badan politik,badan bukan kerajaan(NGO) dan juga pihak-pihak akademik supaya kita mencari lagi satu usaha supaya modul-modul yang kita lakukan itu mengambil kira keinginan kita untuk menjadikan negara malaysia ini negara yang berbilang kaum dan dapat menyatukan negara ini,” katanya.
Menurut Khalid, melalui pendekatan yang dicadangkan ia membolehkan semua pihak memantau serta memberi cadangan mengenai unsur yang akan diterapkan dalam modul kursus tersebut untuk mewujudkan kesepaduan di kalangan masyarakat.
“Jadi ini kita akan cadangkan kalau tak ada dipersekutuan kita boleh lakukan dinegeri,” katanya.-MURIZA ABD HAMID

