Kerajaan Persekutuan Digesa Tubuh Pusat Ibu Tunggal Bendung Masalah Peningkatan Golongan Itu

Saturday, 28 November 2009 | Ruangan: Berita

Shah Alam, 28 November – Wanita Parti Keadilan Rakyat Selangor menggesa kerajaan persekutuan menubuhkan Pusat Ibu Tunggal bagi menangani peningkatan ibu tunggal di Negara ini.

Gesaan itu dibuat ketuanya, Haniza Mohammed Talha berikutan kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chew Mei Fun bahawa mereka tidak bercadang menubuhkan pusat ibu tunggal.

Menurut Haniza, penubuhan pusat tersebut perlu bagi membendung masalah peningkatan jumlah Ibu tunggal serta memastikan golongan ini terus mendapat pembelaan.

“Sekarang ini peningkatan bilangan ibu bapa tunggal dalam keluarga, khususnya ibu tunggal semakin meninggkat, dan saya lihat pihak berkuasa samada di peringkat persekutuan mahupun peringkat negeri perlu melihatnya dari jangka masa panjang,”katanya.

Haniza berkata demikian ketika dihubungi TvSelangor pagi tadi.

Katanya, walaupun Jabatan Pembangunan Wanita telah menyediakan pelbagai program bagi membantu golongan ini namun beliau melihat masih terdapat kekurangan.

Beliau berkata, tiada kemaskini pengumpulan data yang dilakukan bagi peningkatan jumlah ibu tunggal ini diperingkat persekutuan.

Jelas Haniza lagi, bagi mengatasi masalah itu, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi Dan Invoasi, Rodziah Ismail telah mula mencari serta mengumpulkan data bagi memastikan mereka terus mendapat bantuan.

“Saya difahamkan Yang Berhormat Rodziah Ismail memang sedang mengumpulkan data, serta mengemaskini data jumlah sebenar ibu-ibu tunggal yang terdapat di Selangor”jelasnya.

Haniza juga turut mencadangkan kepada pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga agar diberikan kursus keibubapaan bagi membendung jumlah peningkatan ibu tunggal di Selangor.

Kepada isteri-isteri kematian suami juga Haniza turut menyarankan agar meningkatkan pengetahuan agar dapat bersedia menghadapi cabaran masa depan.(ShakiraBuang-TvSelangor)