Tiada Pihak Ketiga Dalam Pengurusan KSSB

Wednesday, 25 November 2009 | Ruangan: Berita

Shah Alam , 25 November – Masalah penyelewengan dan kecurian pasir yang hangat dihujahkan dalam Sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini menarik Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bersemuka dengan media bagi menjelaskan berhubung isu tersebut.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Semesta Sdn Bhd, Ir Ramli Abd Majid berkata, tiada penglibatan pihak ketiga sebagai ejen KSSB di Bestari Jaya.

Beliau turut menegaskan bahawa KSSB tidak bersekongkol atau mendalangi kes kecurian pasir di Selangor.

Menurut Ramli, semua perlantikan kontraktor bagi kerja-kerja perlombongan dan cucigali sungai kelolaan KSSB dijalankan secara tender atau sebut harga terbuka.

Manakala bagi penjualan pasir pula pembeli boleh berurusan terus dengan KSSB tanpa melalui mana-mana pihak atau ajen.

“Operasi perlombongan KSSB juga berlandaskan peraturan dan syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa.Oleh yang demikian KSSB lebih berhati-hati dalam operasinya berbanding operator-operator yang terdahulu,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, hari ini.

“KSSB adalah sebuah entity perniagaan yang ditubuhkan dengan matlamat memaksimumkan pulangan kerajaan negeri dari hasil pasirnya.Sebagai sebuah entity perniagaan, KSSB bukanlah agensi pemantauan sepertimana yang disangkakan sebaliknya penguatkuasaan berhubung industri pasir adalah bidang kuasa Pentadbir Tanah,”jelasnya.

KSSB ditubuhkan oleh kerajaan negeri berperanan dalam menguruskan sumber ala mini bagi melipat gandakan pendapatan kerajaan negeri disamping memantau operasi perlombongan haram.

Sehubungan itu, menurut Ramli KSSB akan lebih berhati-hati selepas ini dalam menjalankan operasi perlombongan.(ShakiraBuang-TvSelangor)