SELPROA Tolak Kepimpinan Najib, Mohon Tarik Balik Pembatalan Pekeliling MB

Wednesday, 25 November 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 25 November – Persatuan Pegawai-pegawai kepada ahli parlimen dan ADUN Pakatan Rakyat  di Selangor mengecam tindakan Peguam Negara mencabar surat pekeliling Menteri Besar melarang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyoal siasat kakitangan kerajaan negeri selepas waktu pejabat.

Menurut persatuan itu, peguam negara seharusnya mengambil iktibar daripada tragedi mendiang Teoh Beng Hock yang ditemui mati setelah disoal siasat sepanjang malam oleh SPRM, Julai lalu.

Presiden persatuan berkenaan,  Abdul Razak Ismail membidas tindakan Peguam Negara  mencabar pekeliling Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang melarang pegawai kerajaan  memberi kenyataan kepada SPRM selepas waktu pejabat dan diluar bangunan SUK.

Kes itu dirujuk ke mahkamah dan menunggu keputusan.

Justeru Abdul Razak menggesa Perdana Menteri Najib Razak untuk melaksanakan amanah dalam  membela hak asasi rakyat termasuk kakitangan kerajaan negeri.

Persatuan ini mendesak Najib untuk mengarahkan Peguam Negara  membatalkan tindakan mencabar surat pekeliling tan sri Khalid ibrahim.
 
“Kami amat terkejut oleh permohonan Peguam Negara  kerana ini merupakan  satu penafian ke atas hak-hak  kami sebagai rakyat Malaysia untuk bekerja dalam satu persekitaran yang selamat dan terjamin.Tindakan ini juga menunjukkan tiadanya kebebasan  dan kelihatan Peguam Negara bertindak bagi SPRM”,katanya.

Razak berkata demikian pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam, hari ini.

Katanya,  Peguam Negara  sepatutnya  menyokong keputusan yang telah dibuat  oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Ariff Mohd Yusof pada 19 November lalu menyatakan bahawa SPRM tidak boleh menyoal saksi  pada waktu malam.

“Kami menyeru kepada  Peguam Negara  untuk menarik balik permohonan pembatan pekeliling Menteri Besar  dengan serta merta  untuk menjamin keselamatan  dan hak pembantu –pembantu wakil rakyat.“Kami menyokong sepenuhnya  pekeliling  Menteri Besar dan menghargai usaha bersepadu oleh Pakatan Rakyat dalam memastikan keselamatan semua pembantu-pembantu politik kepada wakil rakyat pakatan rakyat Selangor”,katanya.

Selproa atau persatuan pegawai-pegawai wakil rakyat pakatan rakyat Selangor ditubuhkan pada bulan ini bagi melindungi  keselamatan, hak asasi kemanusiaan  dan kebajikan pembantu politik di negeri ini.

Ia dianggotai oleh 85 orang ahli  yang  merangkumi pembantu kepada Ahli Parlimen dan ADUN  Pakatan  Rakyat di Selangor.