Homestay sumbang lebih RM1 juta
Tuesday, 17 November 2009 | Ruangan: Berita, S'KiniTVSHAH ALAM 16 NOV – Lebih RM1 juta berjaya dijana untuk pendapatan negeri Selangor hasil daripada produk Homestay, dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, Homestay Sungai Sireh di Kuala Selangor berjaya menjana pendapatan tertinggi iaitu RM277,350.
Menurutnya, Homestay Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam pula menjana pendapatan RM241,750 dan diikuti Homestay Banghuris, Sepang iaitu RM157,950.
“Keseluruhannya, terdapat 16 lokasi homestay di Selangor sehingga tahun ini dan daripada jumlah itu, Sabak Bernam mempunyai enam lokasi homestay, Kuala Langat lima (5), Kuala Selangor dua (2).
Sementara itu, Sepang, Gombak dan Hulu Selangor, masing-masing mempunyai satu homestay,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan statistik kedatangan pelancong homestay bagi Januari hingga September tahun ini, seramai 17,471 pelancong dalam dan luar negara dicatatkan mengunjungi homestay di negeri ini.
“Homestay paling popular di kalangan pelancong tempatan ialah Homestay Sungai Sireh, Kuala Selangor (5,117 pengunjung), manakala Homestay Banghuris (1,681 pengunjung) menjadi tumpuan pelancong dari luar negara,” katanya.



