8 Projek Rumah Terbengkalai Akan Siap 2009, 2010
Tuesday, 17 November 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM 16 NOV – Kerajaan Negeri telah mengenal pasti lapan projek terbengkalai melibatkan 5,655 unit rumah di seluruh Selangor dan akan disiapkan menjelang 2009 dan 2010.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menangani permasalahan tersebut.
Menurutnya, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) turut memainkan peranan sebagai urus setia dalam menyelesaikan projek terbengkalai.
“Mesyuarat bagi mencari jalan penyelesai itu telah diadakan bersama KPKT, pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan teknikal dan persatuan pembeli.
“Kerajaan Negeri turut menyenaraihitamkan pemaju yang terlibat dalam masalah berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei mengenai projek rumah terbengkalai di Selangor semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
“Kita telah mengambil tindakan ke atas mereka (pemaju) dan telah kemukakan kepada KPKT supaya pemaju tidak diberikan lesen pemajuan sekiranya mahu membangunkan projek perumahan di kawasan lain.
“Walaupun Kerajaan Negeri dan KPKT mempunyai bidang kuasa yang berbeza namun, masalah projek terbengkalai akan dirujuk kepada KPKT untuk mendapatkan surat pengesahan projek terbengkalai,” katanya.
Katanya, langkah ini diambil supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank terlibat bagi penyusunan semula pembiayaan pinjaman, manakala bagi kes yang tidak berdaftar di bawah KPKT, LPHS akan mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai itu.

