Rumah Kebajikan Salahguna Kemudahan Perlu Diambil Tindakan
Monday, 16 November 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 16 NOVĀ — Tindakan perlu diambil terhadap pusat-pusat jagaan warga emas yang menyalahguna kemudahan itu dengan menyewakan bilik kepada pendatang tanpa izin, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
hari ini.
Beliau berkata tindakan perlu dikenakan memandangkan rumah kebajikan di Selangor hanya membayar cukai tanah sebanyak RM1 setahun.
“Kalau ada fakta betul kita boleh ambil tindakan…permintaan untuk rumah kebajikan banyak,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Dalam operasi polis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Ikatan Relawan Rakyat, Jabatan Imigresen Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara semalam, seramai 15 pendatang tanpa izin ditahan ketika sedang nyenyak tidur di rumah penjagaan
warga emas di Kampung Ampang Indah.
Menjawab soalan Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) mengenai jumlah penghuni rumah kebajikan, Abdul Khalid berkata 36 rumah kebajikan yang diberi geran oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mempunyai 2,000 penghuni dan 38 rumah di bawah
seliaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menempatkan lebih 1,000 penghuni.

