Selangor Pergiat Aktiviti Kesedaran Jaga Sumber Air

Friday, 13 November 2009 | Ruangan: Berita

Shah Alam, 13 November 2009 – Selangor sentiasa mencari jalan dan bertindak aktif dengan menganjurkan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran awam dalam menangani pencemaran sumber air di negeri ini.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, program-program ini dilihat dapat memberi pendedahan dalam kepentingan pemeliharaan serta pemuliharaan sumber air.

“Antara aktiviti yang telah dijalankan melalui Lembaga Urus Air Selangor(LUAS) adalah Program Pembersihan Pantai dan Kempen Tanam Pokok Bakau di Tanjung Harapan, Program Qua-Qua yang melibatkan Komuniti dan pelajar sekolah dalam pemantauan Kualiti Air Sungai yang telah dilancarkan 28 Jun 2008,Program Kitar Semula Sisa Minyak Masak, dan mengadakan ceramah-ceramah serta pameran-pameran dari semasa ke semasa,”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut dari Adun Sg. Burong, Datuk Shamsudin Lias, pada hari kelima Sidang Dewan Negeri, hari ini.

Menurut Elizabeth, jawatankuasa terlibat juga telah ditubuhkan bagi membuat kerja-kerja pemantauan dan penguatkuasaan berterusan.

Antaranya adalah Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai, Jawatankuasa Pasukan Petugas Pengawalan Pencemaran Sungai Klang, Sungai Langat, dan Sungai Selangor, dan Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air.

Menurut Elizabeth lagi tindakan juga akan dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi undang-undang yang telah di tetapkan kerajaan negeri.

“Tindakan terhadap pencemar boleh diambil melalui, satu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan dan Effluen-Eflluen Perindustrian) 1979 bagi kes-kes sisa perindustrian dan Akta Kerajaan Tempatan,”katanya.

Menjawab pertanyaan Adun Bangi, Shafie Abu Bakar bagi menangani pencemaran air dan bau di tapak pelupusan sampah di kawasan Sungai Kembong, Elizabeth menjelaskan Jabatan Alam Sekitar telah membuka fail siasatan kes tersebut dan kerajaan negeri telah memberi amaran kepada pengusaha tapak pelupusan sampah tersebut bagi memberhentikan operasi.

Tambah Elizabeth, berkenaan loji rawatan air di Salak Tinggi pula, kerajaan negeri telah berbincang dengan konsesi perawat air berkenaan bagi menaiktaraf loji tersebut untuk mencapai tahap Kualiti Air Minuman yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.(ShakiraBuang-TvSelangor)