Selangor Retrencment Helpline Berjaya Atasi Masalah Pengangguran Di Selangor
Jumaat, 13 November 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 13 Nov - Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Selangor Retrenchment Helpline bagi membantu golongan yang diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi global tahun lalu.
Ia dilancarkan pada Mac tahun ini dengan kerjasama Pusat Teknologi, Maklumat dan Komunikasi (ICT) Selangor dan Jobstreet.com.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, melalui program ini, maklumat pekerja yang diberhentikan akan dikumpulkan dan memberi peluang pekerjaan baru melalui penyuaipadanan (matchmaking) dengan pelbagai syarikat yang berdaftar dengan Jobstreet.
“Sistem ini ada lagi, bagi mereka yang berminat dan boleh dilayari oleh mereka yang berminat melalui laman web www.selangor.gov.my ini telah dilakukan”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan semasa pembentangan Sidang Dewan Negeri di Shah Alam, hari ini.
Kata Khalid, sehingga 29 Oktober 2009 sahaja, seramai 4,627 orang sudah mendaftar melalui program ini yang terdiri daripada 2,777 lelaki dan 1,850 perempuan.
Dalam pada itu, Khalid memberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menawarkan bantuan kepada mereka yang diberhentikan melalui program bantuan kewangan bulanan, bantuan kewangan rawatan, bantuan sewa rumah dan bantuan pendidikan anak-anak.
Beberapa kriteria ditetapkan supaya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan manakala pemantauan akan dilakukan dalam tempoh 6 bulan selepas bantuan disalurkan kepada mereka.
Di samping itu, kata Khalid lagi, kerajaan negeri turut menawarkan latihan kemahiran kepada pekerja yang diberhentikan di beberapa institusi latihan di negeri Selangor.
Ia untuk memberi kemahiran baru kepada mereka sebelum diserap ke sektor yang masih kekurangan perkerja seperti pelancongan, perhotelan dan perladangan.
“Kos latihan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kementerian tersebut iaitu dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Manusia yang mengambil masa 1 hingga 6 bulan ataupun mengikut mengikut modul kursus. Di samping itu, para pelatih tidak kena bayar untuk mengikuti latihan, diberi elaun minima sebanyak RM500.00 sebulan sehingga maksimum RM800.00 sebulan bergantung kepada kelayakan dan juga status sama ada bujang ataupun berkahwin”, jelasnya lagi. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN







