Selangor Kaji Wujud Program Komuniti Khidmat Masyarakat Di Setiap PPR
Thursday, 12 November 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 12 Nov – Kerajaan Negeri Selangor sedang mengkaji cadangan mengwujudkan program Komuniti Khidmat Masyarakat di setiap Projek Perumahan
Rakyat (PPR) dalam negeri dalam usaha membantu penyewa-penyewa projek perumahan berkenaan yang tidak mampu menyelesaikan tunggakan sewa.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri Iskandar Abdul Samad berkata penyewa-penyewa PPR yang mempunyai tunggakan
sewa tinggi akan diwajibkan menyertai program komuniti ini bagi melakukan kerja-kerja pembersihan bangunan dan kawasan PPR.
“Satu sistem ganjaran juga akan diperkenalkan di mana penyewa tidak akan dibayar upah berbentuk tunai, tetapi kadar masa dan kerja yang dilakukan akan
diambil kira untuk ditolak dengan tunggakan sewa yang ditanggung oleh penyewa berkenaan.
“Kerja khidmat masyarakat ini akan dibuat secara berterusan sehingga tunggakan sewa habis dilangsaikan,” kata beliau semasa menjawab soalan Datuk
Muhammad Bushro Mat Johor (BN-Paya Jaras) semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Iskandar berkata meskipun program komuniti ini tidak memberikan pulangan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan, ia dijangka dapat
memberi pendidikan serta meningkatkan rasa tanggungjawab penyewa terhadap PPR.
Pembinaan bangunan PPR di Selangor dibiayai dan dimiliki oleh kerajaan pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan ia diserahkan kepada
kerajaan negeri untuk mengurus pengisian unit rumah dan penyelenggaraan bangunan.
Hasil kutipan sewa pula akan digunakan bagi tujuan penyelenggaraan di samping kos-kos yang perlu dibiayai setiap tahun seperti bayaran premium insurans kebakaran, pembaikan lif dan kerosakan-kerosakan akibat vandalisme.



