977 Pembaca Khutbah Bertauliah Di Selangor
Wednesday, 11 November 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 11 Nov – Sidang Dewan Negeri Selangor hari ketiga ini menjadi hangat semula apabila isu pentaulihan Jabatan Agama Islam Selangor disentuh Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Ismail Sani.
Enakmen Agama Islam Selangor menetapkan bahawa mana-mana individu yang mahu membaca khutbah Jumaat atau kuliah agama di masjid dan surau seluruh negeri, mestilah mempunyai tauliah dari JAIS terlebih dahulu.
Walaupun surat pekeliling sudah diedarkan kepada masjid dan surau di seluruh Selangor namun masih terdapat individu yang engkar kepada arahan tersebut.
Menjawab pertanyaan Ismail Sani, Datuk Hasan Ali memberitahu pekeliling diedar kepada Nazir dan Ahli Jawatankuasa Masjid bagi memastikan pematuhan kepada penyampai khutbah supaya tidak menimbulkan keresahan masyarakat Islam seperti tidak membangkitkan isu berbaur politik, tidak menyentuh isu peribadi dan juga tidak menokok tambah teks sedia ada.
“Kita masih menjunjung titah ke bawah duli Tuanku bahawa Measjid adalah kawasan bebas daripada politik. Zon larangan berpolitik, ini memang kita jadikan sebagai panduan utama kita untuk menjaga keutuhan masjid,” katanya.
Hasan Ali menambah, JAIS sudah pun mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap nazir-nazir masjid yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dengan memberi tempoh tertentu untuk tindakan selanjutnya.
Sehingga September 2009, Hasan Ali berkata kira-kira seramai 977 orang sudah pun memiliki tauliah daripada JAIS.
Menjawab pertanyaan mulut ADUN Bangi, Shafie Abu Bakar mengenai usaha untuk memudahkan pentauliahan dikeluarkan JAIS, Hasan Ali menjawab tiada jalan pintas untuk memperolehinya kerana prosedur yang ketat.
Katanya lagi, satu Jawatankuasa Khas sudah pun ditubuhkan untuk usaha pentaulihan tersebut yang dikepalai Pengarah JAIS dan dibantu Mufti Selangor.
“Kita ada Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Pengarah JAIS yang juga merupakan setiausaha kepada Mais dan Timbalannya iailah Mufti kita yang berada dalam jawatankuasa tersebut,” katanya.
Tambahnya lagi, usaha untuk menambah keperluan pengkhutbah bertauliah sudah pun dibuat JAIS dan Kolej Universiti Islam Selangor dengan melatih 60 orang terdiri daripada pensyarah KUIS sendiri. – MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

