Bajet Selangor 2010 susut

Wednesday, 11 November 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM 11 Nov. – Bajet 2010 yang dibentangkan kerajaan negeri semalam menyaksikan penyusutan sebanyak RM100 juta berbanding RM1.4 bilion bagi tahun lalu.

Daripada peruntukan RM1.3 bilion, sebanyak RM710 juta atau 54.58 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM590 juta atau 45.42 peratus perbelanjaan pembangunan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, RM272 juta daripada peruntukan mengurus adalah untuk bayaran gaji, RM310 juta (bekalan dan perkhidmatan), RM5 juta (pembelian aset), RM121 juta (pemberian dan bayaran tetap) dan RM860,031 (perbelanjaan lain).

Menurutnya, bagi peruntukan pembangunan, RM76 juta disediakan bagi sektor ekonomi manakala RM219 juta (sosial), RM286 juta (infrastruktur) dan RM8 juta (perbandaran).

“Peruntukan yang berkurangan untuk tahun depan tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memenuhi keperluan rakyat.

“Langkah berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah akan dilakukan tanpa mengetepikan kepentingan rakyat,” katanya semasa membentangkan bajet itu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Abdul Khalid memberitahu, kutipan hasil cukai bagi 2010 dianggarkan RM460 juta iaitu merosot RM3 juta berbanding tahun lalu sementara hasil bukan cukai RM422 juta, pengurangan RM107 juta.

“Penurunan jumlah pendapatan negeri tahun ini berpunca daripada kegawatan ekonomi dunia yang memberi kesan terhadap ekonomi Malaysia secara keseluruhannya,” jelasnya.

Tambahnya, kerajaan negeri ingin memastikan supaya langkah berjimat cermat dilaksanakan secara berterusan bagi menerapkan budaya perbelanjaan berhemah dalam pentadbiran kerajaan.

Katanya, langkah itu boleh dilaksanakan dengan kaedah perbelanjaan mengikut perancangan ditetapkan dan berdasarkan prosedur serta peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa.

“Seluruh anggota pentadbiran dan ketua-ketua jabatan perlu memahami konsep ‘value for money’ dalam segala urusan perbelanjaan selain memastikan semua program yang dikenal pasti dalam Bajet 2010 dilaksanakan dengan sempurna serta mengikut jadual.

“Saya telah meminta Perbendaharaan negeri menjalankan semakan bajet tiga kali setahun untuk menilai semula program yang telah ditetapkan untuk dilaksanakan semua jawatankuasa tetap,” jelasnya.