Kejohanan Tarian Rakyat Maksak Di Selangor Meriah

Monday, 09 November 2009 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM, 9 November – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, MAKSAK Selangor selaku tuan rumah kejohanan  ini berbangga kerana dapat menjayakan kejohanan yang dapat mengeratkan lagi hubungan setiap negeri yang terlibat.

“Kejohanan seni yang dilangsungkan ini merupakan wadah yang menunjukkan nilai sesuatu bangsa dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian selepas merasmikan penutup Kejohanan Tarian Rakyat, Nyanyian Lagu-lagu Asli, Moden dan Kugiran MAKSAK Malaysia 2009, di Dewan Banquet Majlis Perbandaran Petaling Jaya, semalam.

Dalam majlis yang sama Tan Sri Khalid dan isterinya Puan Sri Salbiah turut menerima kejutan apabila bersama-sama meraikan hari ulang tahun kelahiran Puan Sri.

Menurut Tan Sri Khalid beliau berbesar hati dan berharap agar kejohanan ini dapat merapatkan hubungan pelbagai kaum yang terdapat di Selangor ini.

“Saya berharap agar semangat kesukanan yang lahir daripada kejohanan ini menjadi asas penting dalam usaha mengintegrasi pelbagai kaum etnik kepada satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan harmoni,” katanya.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Yang Dipertua MAKSAK Selangor, Datuk Ramli Mahmud, Setiausaha Agung MAKSAK Malaysia, Datuk Tarmedi Omar dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohammad Roslan Sakiman.-SHAKIRA BUANG