Program Sua Rasa Aidilftiri TV9 Papar Dasar Pembangunan Kerajaan Selangor
Saturday, 17 October 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 17 Oktober – Program Sua Rasa Aidilfitri kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama TV9 menjadi perintis kerjasama lebih erat kerajaan negeri dan media arus perdana.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan liputan media arus perdana dan kerjasama seperti ini harus diteruskan.
“Lagi sekali program untuk menghampiri rakyat melalui media televisyen, saya berterima kasih kepada TV9 dan rakan-rakan daripada kerajaan negeri Selangor yang bersetuju untuk mengadakan Sua Rasa diadakan satu karnival, semua masyarakat Selangor diminta hadir bersama keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa turun padang melawat gerai-gerai di karnival.
TV9 adalah merupakan anak syarikat Media Prima Berhad iaitu merangkumi TV3, 8TV, dan NTV 7.
Aturcara program turut memuatkan temubual eksklusif Khalid Ibrahim bersama TV9 secara langsung dalam program Nasi Lemak Kopi O, di Perkarangan Stadium Shah Alam, pagi tadi.
Ketika ditemui TvSelangor, Khalid berkata beliau amat menyambut baik sokongan TV9 dalam program kerajaan Selangor.
Bukan itu sahaja, disamping itu menurut Khalid, ia juga bertepatan dengan menyambut kemeriahan hari Deepavali pada hari ini.
“Ini kita membukanya kepada semua masyarakat, hari ini juga deepavali, sambutan masyarakat Tamil, dijemput datang bersama-sama merayakan karnival SuaRasa, perjumpaan yang menggembirakan,” katanya.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato Dr Hasan Mohamad Ali melahirkan sukacita dengan program pelbagai dimensi ini.
Pakar motivasi terkenal ini menjelaskan disamping berhibur dengan hiburan berfaedah, orang-ramai juga berpeluang mendapatkan maklumat mengenai agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”, seperti Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor dan Hadiah Anak Masuk Universiti.
“Saya lihat sambutan daripada rakyat, gabungan ini pembangunan negeri Selangor dngan channel Tv seperti itu saya rasa ini sangat ampuh, kalau kita saja buat tanpa media participation, saya rasa dia akan sejuk sedikit, ini merupakan satu julangan kepada pembangunan negeri Selangor,” katanya.
Menurut Hasan, karnival seperti ini membuka peluang kepada usahawan untuk meneroka peluang perniagaan dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung ke pesta ini.
“Bukan sahaja dapat menyerlahkan apa yang sedang berlaku di Selangor dari segi pembangunan-pembangunan yang sedang dan akan dijalankan, tetapi saya lihat pedagang-pedagang mempamerkan barangan dagangan mereka daripada peniaga bumiputera, standing yang kita lihat seperti McDonald dan sebagainya.Ini satu perkembangan yang sangat menggalakkan,” katanya.
Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Md Noor, Exco-exco Selangor, Teresa Kok, Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Dr Xavier Jayakumar, Dr Halimah Ali, Iskandar Abdul Samad, Ronnie Liu, Elizabeth Wong, dan Ean Yong Hian Wah.
Program ini akan bermula dari 8 pagi hingga 11 malam bermula hari ini yang menyediakan pelbagai gerai jualan dan pameran kepada pengunjung.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

