Selangor Sedia Hadapi Tentangan Terengganu
Friday, 16 October 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM,16 Oktober -Selangor sedia menerima tentangan Terengganu bagi mengekalkan kedudukan teratas Kumpulan D, pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 20 Oktober ini.
Selangor atau lebih dikenali sebagai Red Giants setakat ini sudah menjuarai tiga piala pada musim ini, iaitu piala Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.
Tentunya, Jurulatihnya K. Devan serta anak buahnya berazam untuk merampas kesemua piala yang dipertandingkan, terutama Piala Malaysia.
Devan yang ditemui TVSelangor, yakin pasukan bimbingannya boleh melakukan yang terbaik ketika bertemu Terengganu berdasarkan prestasi dan semangat yang memuncak pada ketika ini.
Menurutnya, menjulang empat piala semusim bukan sahaja merupakan hasrat pemain, malah penyokong dan yang paling utama, Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor yang juga Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Menteri Besar selaku presiden persatuan bola sepak dan pengurusan tertinggi pasukan Selangor, pasukan Selangor tahun ini ada peluang mencipta sejarah dan permain sedar akan tanggungjawab ini dan mereka berada dalam keadaan sedia untuk cipta sejarah,” katanya.
Devan berkata, sokongan dari penyokong akan menambahkan lagi semangat kepada anak-anak buahnya untuk menempah tiket ke perlawanan akhir.
“Saya rasa pasukan Terengganu kita tidak boleh ambil mudah. Yang penting ini adalah peringkat suku akhir di mana ada dua pusingan keputusan di pusingan pertama akan menjadi kunci kejayaan pasukan Selangor.
“Dari segi permain kita dapat turunkan kesebelasan utama untuk perlawanan suku akhir menentang Terengganu. Pasukan Selangor berada dalam keadaan baik dari segi semangat fizikal dan mental permain. Saya rasa ini adalah peluang terbaik kita mencipta kemenangan yang besar di pusingan pertama apabila kita bermain di Stadium Shah Alam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pasukan Selangor, Amri Yahya berkata, dia dan rakan sepasukannya sedia memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan, untuk memungut tiga lagi mata ke atas Terengganu.
Pasukan Selangor akan berusaha bermain bermati-matian untuk melayakkan diri ke final sebagai tanda terima kasih kepada penyokong dan pihak pengurusan pasukan.
“Memang target kami untuk mendapatkan piala yang ke empat kerana pihak pengurusan telah beri apa yang perlu untuk pemain dan kita akan buat yang terbaik untuk piala yang seterusnya.
“Kalau boleh kepada peminat semua ke stadium untuk memberi sokongan kepada kami kerana tanpa peminat kami kurang menyerlah tetapi jika ada peminat permaian akan bertambah baik, insyaAllah,”katanya.
Penyerang Selangor, Safee Sali pula berharap semua penyokong turun ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukannya.
“Harapan semestinya menjulang Piala Malaysia tahun ini untuk mencipta rekod merangkul semua piala dalam Liga Malaysia. Apa yang penting penyokong turun beramai-ramai memberi sokongan dan harapan kepada pasukan Selangor untuk berjaya di peringkat suku akhir dan seterusnya,” katanya.
Bagi Pengurus Pasukan Selangor, Zakaria Ab. Rahim, kerjasama yang ditunjukkan semua pihak, terutamanya kerajaan negeri yang diterajui Tan Sri Khalid Ibrahim, memberi semangat kepada pasukannya untuk meragkul empat kejuaraan pada musin ini.
“Kerajaan negeri telah memberi sokongan yang cukup baik dan saya rasa yang terbaik setakat ini atas bantuan dorongan dan sokongan kepada mereka. Kita dapat lihat sesetangah pemimpin negeri turun ke staduium memberi sokongan bertemu dengan pemain dan juga menyediakan pelbagai insentif untuk pemain seperti tempat tinggal makan dan sebagainya,” katanya.
Penyokong setia Selagor, Husni Jaafar pula yakin, Selangor mampu menjulang Piala Malaysia setelah hanya menjadi Naib Juara pada musim lalu, berlandaskan semangat yang ditunjukkan pemain.
“Selangor boleh pergi lebih jauh kerana dari segi kesihatan fizikal di tahap baik dan yang telah dicapai dalam Liga Super, Sumbangsih dan Piala FA saya rasa tiada masalah untuk Selangor tewaskan Terengganu dalam peringkat suku akhir nanti,” katanya. -YUSMAWATI MHD YUSOF

