Masakan Tradisional Di Restoran Penang Gulai Shah Alam
Monday, 12 October 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 12 Oktober – Bagi orang ramai yang ingin menikmati makanan tradisional tiga kaum di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India, jangan lepaskan peluang mengunjungi Restoran Penang Gulai di Seksyen 7, Shah Alam.
Restoran ini boleh dikunjungi pelbagai kaum dan juga yang beragama Islam kerana semua jenis makanan dan minuman yang disediakan adalah halal.
Pemiliknya, Ong Chen Yook berkata, restoran ini mendapatkan sijil halal yang sah daripada Islamic Food Research Centre Malaysia and Asia Region pada 18 Mac lalu.
Ia bagi memastikan pengunjung yang beragama Islam tidak ragu-ragu untuk menikmati makanan di Restoran Penang dan menikmati makanan tradisional yang menjadi kegemaran warga kota.
Antara juadah istimewa restoran ini termasuklah kari kepala ikan, ayam goreng ala penang, udang asam, sotong goreng cili kering, kalian ikan masin, petai ikan bilis, dan otak-otak.
Restoran Penang Gulai ini adalah dahulunya terletak di Bandar DiRaja Klang dan telah beroperasi lebih 30 tahun, dan kini lokasi barunya bertempat di Seksyen 7, Bandar Bestari Shah Alam.
Majlis Perasmian Restoran Penang Gulai di lokasi baru ini dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan penuh meriah, semalam.
Bersesuaian dengan motto, “Keenakan masakan tradisional, kepuasan keutamaan kami’, harga yang ditawarkan juga berpatutan.
Disamping itu, sempena Hari Raya Aidilfitri, Restoran ini turut bermurah hati memberikan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik dengan menjemput 20 orang anak-anak yatim daripada Pertubuhan Anak Yatim & Miskin Sungai Pinang dan Samtenling Dharma House Klang.
Kata Khalid, ini merupakan satu usaha murni pemilik restoran ini dan melambangkan 1Malaysia dengan tidak melupakan golongan yang tidak bernasib baik walaupun dari agama yang berbeza.
Turut hadir, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wan Azizah Wan Ismail beserta anaknya yang juga Ahli Parlimen Pantai Dalam, Nurul Izzah Anwar dan suami, dan Exco Selangor, Elizabeth Wong.
Majlis dimeriahkan dengan tarian singa dan bunga api.

