31 Golongan Tidak Bernasib Baik Terima Sumbangan ADUN Subang Jaya
Sunday, 11 October 2009 | Ruangan: BeritaSUBANG JAYA, 11 Oktober – Seramai 31 orang yang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya, fakir miskin dan anak yatim dari Pangsapuri Angsana dan juga Pangsapuri SS19 hari ini menerima sumbangan dari Pejabat Adun Subang Jaya sempena Hari Raya Aidifitri.
Sumbangan berupa baucer sebanyak RM70 seorang itu disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh dalam satu majlis yang diadakan di hadapan Caremart, Taman Industri UEP,Subang Jaya,petang tadi.
Hannah ketika ditemui TV Selangor berharap sumbangan berbentuk baucer itu dapat meringankan beban yang ditanggung walaupun jumlahnya tidak seberapa.
Menurutnya, setiap penerima sumbangan hari ini juga boleh menukar terus baucer yang diterima dengan membuat pembelian di Caremart dimana harga yang ditawarkan oleh kedai runcit itu lebih murah dan berpatutan.
“Jadi kita berterima kasihlah kepada Caremart, tengok mereka semua gembira datang nak shopping dan ini satu projek berkebajikan kepada penduduk setempat.Jadi dengan adanya majlis hari ini saya berharaplah ibu-ibu tunggal tahu mana nak cari barang yang murah untuk membantu mereka kerana ada subsidi daripada penduduk-penduduk setempat yang membantu mereka.
Kata Hannah,selain membeli dengan harga murah mereka juga berpeluang mendapat potongan 30 peratus dari setiap pembelian barangan keperluan asas.
Rata-rata penerima sumbangan hari ini melahirkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan juga kepada Adun Subang Jaya yang prihatin dengan nasib menimpa mereka.
Ibu tunggal, Faridah Mohd Isa berkata, dia gembira serta terharu di atas pemberian yang tidak disangka itu yang disifatkannya sebagai rezeki bulan Syawal
“Itulah, akak rasa gembiralah,terharu dengan dapat panggilan macam ni.Diharap,macam ni tiap-tiap tahunlah ada, sumbangan untuk ibu tunggal,anak-anak yatim meringankan beban kita semua.
“Inilah kali pertama, tidak dapat apa-apa bantuan.Gembiralah dengan sumbangan walaupun tidak seberapa.Kita dapat bercampur -campurjadi kita tau macammana. Tak taulah nak cakap gembiranya macam mana”,katanya.
Seorang lagi ibu tunggal, Normah Rasul dari SS 19 berkata sumbangan itu sedikit sebanyak dapat menceriakan golongan sepertinya yang menyambut Adilfitri tanpa suami tercinta.
“Banggalah sebab ada orang ambil perhatian kepada kita kan…Ada juga kan dari Hannah Yeoh,buat makan-makan”,katanya.
Beliau yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak berharap bantuan seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.
Sementara itu, Salmah Ismail dari Flat SS19 menyifatkan pemberian itu sebagai amat berharga kepadanya yang baru sahaja kematian suami.
“Akak memang rasa terharu sangat,sebelum ini akak memang terlibat badan-badan NGO,ibu-ibu tunggal yang lain,kena sendiri akak rasa walaupun sumbangan itu sedikit tapi amat berharga.Pengalaman akak kan,husband bawa teksi jadi tak seberapa dan bila keadaan ini memang memerlukan walaupun sedikit memang besar untuk kami”,katanya.
Beliau yang mempunyai enam anak turut berterima kasih kepada kerajaan negeri yang terus mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum.

