15,000 Hadiri Rumah Terbuka DUN Kota Anggerik

Sunday, 11 October 2009 | Ruangan: Berita

Shah Alam, 11 Oktober 2009 – Kemeriahan jelas terserlah di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari dengan kedatangan kira-kira 15 ribu  tetamu.

Majlis yang sepatutnya bermula jam 11 tengah hari, bagaimanapun dihadiri tetamu seawal jam 10 pagi lagi, termasuk penduduk Cina dan India.

Yaakob Sapari yang juga ADUN Kota Anggerik berkata, kehadiran tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat amat dialu-alukan dan kehadiran mereka semua dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

“Pertamanya saya mengalu-alukan kehadiran tetamu yang hadir petang ini, Alhamdulillah pelbagai masyarakat berbilang kaum cina, india hadir pada petang ini, dan kelihatan sangat muhibah sekali.Kelihatan sangat ramai sekali dan saya mengalu-alukan kedatangan mereka,”katanya.

“Saya harapkan ialah lepas ini hubungan tali persaudaraan,ukhwah di antara penduduk dikawasan Kota Anggerik akan meningkat lagi,”jelasnya.

Menurut Yaakob, majlis rumah terbukanya hari ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran 250 belia dari sekitar Shah Alam bagi menyediakan juadah lemang untuk santapan pengunjung.

“Dimana belia-belia peringkat PeBT ini adalah penggerak belia PeBT Zon 2 Shah Alam,seramai 250 orang ,yang hadir membuat aktiviti membakar lemang sejak malam tadi dan lemang tersebut diberikan kepada tetamu yang hadir hari ini,”katanya.

Yaakob juga berkata kehadiran golongan belia ini sebagai galakkan kepada mereka untuk bermasyarakat.

Selain dihidangkan dengan makanan lazim hari raya seperti ketupat, rendang, lemang, sate, kambing panggang ,cendol dan air batu campur tetamu turut disajikan dengan hidangan kupang rebus sambil dihiburkan  dengan alunan lagu-lagu hari raya.

Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui kelihatan berselera menikmati hidangan yang disediakan, di samping dapat berkenal mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat yang hadir.

Pada majlis itu, Yaakob turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.